LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

PAS fail petisyen semak keputusan pilihan raya

Awang Harun
Mon | Apr 28, 08 | 6:13:02 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 28 April (Hrkh) - PAS Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memohon supaya disemak semula keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada hari pengundian, 8 Mac lalu.

Petisyen itu dikemukakan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen berkenaan di Pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed, kira-kira jam 12.00 tengah hari.

Beliau menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Mat Razali Kassim, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Razali Ismail sebagai defendan.

Turut bersamanya ialah Setiausaha Pemuda PAS kawasan, Wan Mohd Faizul Wan Abas dan peguam Kamaruzzaman A Wahab.

Dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, calon PAS,Mohamad Sabu tewas kepada calon BN, Razali Ismail dengan majoriti 628 undi. Mohamad memperolehi 31,934 undi sementara Razali 32,562 undi manakala calon Bebas, Maimun Yusof hanya 685 undi. - mks.

Ku Li: Wakil BN lompat boleh berlaku

Nash Rahman | Apr 26, 08 7:36pm

Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan dakwaan PKR bahawa 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat menyertai Pakatan Rakyat, boleh menjadi kenyataan.

"Saya kenal banyak ahli parlimen (BN) yang terpilih baru-baru ini adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sewaktu beliau masih berkuasa dahulu dan mereka masih rapat dengan beliau.

"Kemungkinan mereka akan berpihak kepada PKR jika kita tidak mengambil tindakan tegas untuk mengawal perasaan mereka," kata ketika menjawab soalan dalam pertemuan dengan kira-kira 500 ahli Umno di sekitar Subang Jaya di sebuah hotel terkemuka hari ini.

Sebelum ini, bekas menteri kewangan itu menyampaikan ucapan bertajuk 'Halatuju umno selepas pilihanraya umum ke-12' di wacana perubahan dan pemikiran anjuran pemimpin veteran Umno, Datuk Mazlan Harun di tempat yang sama.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan hadirin berhubung kenyataan ketua umum PKR itu bahawa ahli-ahli parlimen BN di Sabah itu telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

"Kita tahu PKR begitu serius hendak kalah kita, bukan di peringkat negeri sahaja tetapi juga di peringkat persekutuan.

Perasaan pada Umno

"Hingga sekarang pun PKR hendak tumbangkan kita. Dia sudah dedahkan cita-citanya itu seperti yang dilaporkan dalam akhbar.

"Dia sudah kata dia ada cukup bilangan kerusi parlimen untuk tubuhkan kerajaan, kalau tidak pada 31 Ogos, mungkin pada 16 Ogos," tambah Tengku Razaleigh.

"Ini bukan cakap main-main. Perasaan orang Sabah terhadap Umno tidak seperti kita di sini. Kita di sini dilahir dan dibesarkan dalam suasana Umno.

"Segala yang kita sentuh ada kaitan dengan perjuangan Umno. (Tetapi) perasaan orang Sabah tidak seperti perasaan orang Umno di sini, tidak tebal," tegasnya.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau bimbang dengan sikap pemimpin Umno yang tidak mengambil serius tentang perkara tersebut.

Di samping itu, katanya, isu-isu yang membabitkan Sabah sepertimana yang dibangkitkan oleh pemimpin Umno di negeri tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.

PKR serius

"Walaupun pemimpin kita telah melawat Sabah untuk menyelesaikannya, tetapi saya diberitahu bahawa tidak ada penyelesaian yang dicapai," tambahnya.

"Jangan fikir kita akan terus berkuasa...hanya 30 kerusi boleh ubah pemerintahan negara ini. Ini bukan sesuatu yang susah hendak dibuat," tegasnya lagi.

Tengku Razaleigh berkata beliau terserempak dengan Anwar dalam penerbangan dari Kota Baru hari ini dan bertanyakan soalan itu kepada bekas timbalan perdana itu.

"Saya tanya beliau (mengenai perkara itu), jawabnya dia serius. Itu jawapan beliau kepada saya.

"Tidak terjamin kita boleh kekal, tidak terjamin, itulah sebabnya saya sendiri risau dengan sikap pemimpin kita (mengenai dakwaan tersebut)," tambah Tengku Razaleigh

Umno perlu berubah

Sementara itu, dalam ucapannya, Tengku Razaleigh berkata, usaha memulihkan kekuatan Umno mesti bermula dari dalam organisasi itu sendiri.

"Umno perlu periksa semula sistem dan peraturan yang baik dikekalkan manakala yang tidak baik, yang boleh melemahkam Umno, perlu diubah dan diganti dengan yang lebih baik," katanya sambil menambah perubahan itu mestilah yang fundamental dan bukan di luaran sahaja.

Katanya, salah satu perubahannya ialah mengembalilkan demokrasi dalam Umno dan segala peraturan yang menyekat kebebasan Umno memilih pemimpin dan membuat Umno lemah, hendaklah diubah sebelum parti menjadi mangsa kepada peraturan tersebut.

Di samping itu, katanya, Umno mesti mengekalkan semangat kebangsaannya untuk kepentingan negara jika mahu terus kekal dan relevan sebagai 'parti kebangsaan Melayu' dan 'parti kebangsaan negara'.

"Umno, walaupun adalah parti Melayu, mesti bergerak atas dasar kebangsaan, tidak atas dasar perkauman. Dasar kebangsaan bererti dasar untuk kepentingan negara, tidak untuk kepentingan etnik," katanya.

Beliau berkata, jika Umno hendak mengatasi parti lain yang asasnya bercorak kaum, Umno mestilah mengamalkan visi, dasar dan matlamat yang bercorak kebangsaan, yakni merentas sempadan dan kepentingan etnik.

Katanya, beliau menimbulkan soal ini kerana tidak mahu Umno dianggap sebagai beban atau liabiliti oleh MCA, Gerakan dan MIC kepada Barisan Nasional (BN).

'Anak hilang ibu'

Selain itu, katanya, kerajaan BN dan Umno juga tidak membenarkan suara orang Melayu dari badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengkritik dan cuba menyampaikan pandangan untuk kebaikan bangsa.

"Kadang-kadang mereka yang membantah dianggap pengkhianat kepada bangsa dan dituduh anti-kemajuan bangsa Melayu. Itulah budaya Umno sekarang," katanya.

Ekoran itu, tegasnya, NGO yang tidak sedikit jumlahnya yang pro-kerajaan, semakin lama semakin tidak aktif dan tidak berani serta tidak berkesan lagi sebagai suara alternatif bangsa Melayu.

"(Akhirnya) mereka kehilangan ibu seperti anak ayam kehilangan ibu...jadi mereka mencari ibu tiri dan menyokong perjuangan parti lain seperti PAS dan lebih ketara lagi PKR.

"Hari ini bila Umno dan BN tidak kuat lagi, NGO inilah yang bangkit mengadakan forum membincangkan tentang permuafakatan Melayu dan nasib bangsa Melayu selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu, tanpa melibatkan parti-parti politik," tambahnya.

Di samping itu, tegas Tengku Razaleigh, lebih ramai orang Melayu yang suka membaca blog dan tidak lagi membaca media perdana yang mereka anggap dikawal oleh kerajaan atau Umno.

Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8 Shah Alam diimarahkan semula


Saidah Hairan | Foto Nasir Sudin
Fri | Apr 25, 08 | 12:39:48 pm MYT

SHAH ALAM, 25 April (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam meraikan penduduk yang mengadakan majlis kesyukuran di Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8 di sini, menandakan berakhirnya tindakan menyita rumah Allah itu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selama lapan bulan. Image

Surau tersebut disita pada awal September tahun lalu gara-gara mempunyai dua imam ketika menunaikan solat jemaah waktu maghrib dan isyak.

Turut hadir dalam majlis kesyukuran tersebut, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam; Dato' Dr Hassan Mohamed Ali; exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari; Pengarah Jais, Dato' Mohamed Khusrin Munawi; Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Mahd Nor; Ketua Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Dato' Munir bin Bani; dan Ahli Parlimen Shah ImageAlam, Khalid Samad yang juga Timbalan Pesurujaya PAS Selangor.

Dalam ucapannya, Khalid mengingatkan penduduk Seksyen 8 melupakan perselisihan faham sehingga menyebabkan tindakan tegas diambil sehingga membawa kepada penutupan surau tersebut.

"Saya diminta oleh Tuanku menyatakan bahawa pembukaan Surau Ar-Rahmah ini sangat penting bagi menjamin perpaduan umat Islam di Selangor," katanya.

Beliau berjanji akan memberi kemudahan dan sokongan Imageterhadap aktiviti yang dilakukan oleh jemaah surau.

"Alhamdulillah, harta negeri Selangor banyak asalkan jangan disalahgunakan," katanya.

Menurut beliau, pemimpin Islam perlu menunjukkan bahawa Islam itu amat adil, bijak dalam mentadbir dengan semua bangsa akan mendapat manfaat berada di bawah naungannya.

Beliau percaya jika pemimpin Islam dapat mentadbir Imagekerajaan secara amanah, ikhlas dan efisen bermakna pembangunan negara dan negeri akan memberi keselesaan kepada seluruh rakyat.

Katanya, pemimpin Islam perlu mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abd Aziz walaupun hanya memerintah selama dua tahun, rakyatnya tidak ada yang miskin. - lanh

Abdullah akan jadi Ketua Pembangkang bila-bila masa dari sekarang - Anwar


Nabila Abdullah
Thu | Apr 24, 08 | 2:20:44 pm MYT

PENAMPANG, 24 April (Hrkh) - "Apabila ahli Parlimen Sabah menarik diri dari Barisan Nasional (BN) pada malam ini, esok juga BN akan tumbang dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan jadi Ketua Pembangkang!", kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di sini semalam.

Ujar Anwar, BN tidak lagi kuat, malah turut kalah di Semenanjung dan mereka hanya dapat bertahan buat sementara waktu kerana sokongan dari ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.

"Kita sudah kira jumlah itu (ahli Parlimen) dan jumlahnya cukup untuk kita memerintah Malaysia. Biar orang Sabah menentukan siapa pemimpin yang mereka pilih berdasarkan kuasa yang mereka ada," ujarnya.

Tambah Anwar, kawan-kawan saya di ahli Parlimen Sabah telah menyatakan persetujuan untuk memasuki Pakatan Rakyat (PR) dan meninggalkan BN.

"Bila mereka (ahli Parlimen Sabah) umumkan, itu sedang kita bincangkan mengikut strategi yang terbaik dan mereka harus berfikir secara bijaksana demi kepentingan masyarakat Sabah kita tidah harus terburu-buru", katanya.

"Mereka harus fikir secara bijaksana demi kepentingan rakyat Sabah", katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga menafikan bahawa beliau kononya membeli ahli Parlimen Sabah malah menegaskan penyertaan mereka dalam Pakatan Rakyat bukan kerana wang.

Sebaliknya hanya untuk menjaga kedaulatan rakyat Sabah dengan menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh, katanya.

Tambahnya, barisan Pakatan Rakyat tidak akan mengikut budaya barisan nasional yang sering membazirkan wang rakyat untuk mendapatkan sokongan parti.

Penasihat KeADILan itu juga berkata, Sabah adalah negeri yang kaya dengan hasil bumi dan cukup untuk diagih kepada rakyat negeri itu.

Namun disebabkan oleh pemimpinnya tamak haloba, nafsu serakah mereka bolot kekayaan itu dan rakyat Sabah menjadi mangsa, ujarnya.

"Sudah tiba masanya rakyat Sabah menerima perubahan dengan menyokong Pakatan Rakyat," katanya./wann.

Sembang santai bersama Presiden PAS


Azamin Amin | Foto Wan Zahari
Wed | Apr 23, 08 | 6:48:42 am MYT

KUALA LUMPUR, 23 April (Hrkh) - Setelah berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu selama enam hari semenjak dimasukkan pada 10 April lalu, kini Presiden PAS Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah mula menjalankan tugasnya seperti biasa dan sempat berseloroh dalam suasana ceria ketika ditemubual wartawan dan jurugambar Harakahdaily di Pejabat Agung PAS pagi semalam.

Image"Saya semakin sihat. Cuma doktor nasihatkan supaya saya mengemaskinikan program yang perlu dihadiri dan jadual kerja yang begitu padat menyebabkan kesihatan saya boleh terjejas," kata Ustaz Hadi sebagai mukadimah perbualan dengan Harakah.

"Pun begitu saya tetap akan hadir ke Parlimen dan mesyuarat PAS Pusat yang akan diadakan tidak lama lagi. Terima kasihlah kepada semua yang mendoakan dan prihatin kepada saya selama ini."

Dalam pada itu beliau menjelaskan walaupun dinasihatkan supaya banyak beristirehat namun tidak bermakna beliau perlu melupakan tanggungjawab beliau sebagai seorang Presiden dan tenaga pengajar dalam kuliah-kulaih agama yang dianjurkan.

Katanya beliau masih meneruskan sesi kuliah dan mengajar hari Jumaat dan malam Khamis di Terengganu kerana itu merupakan jadual wajib beliau sebelum menjadi Presiden PAS lagi dan memperuntukan hari Sabtu, Ahad dan Isnin bagi tugasan rasmi, bertemu masyarakat dan berceramah di luar negeri kelahiran beliau itu.

"Sesibuk mana pun pasti dapatkan tidur yang cukup... itu pesan bekas Presiden PAS Almarhum Dr Haji Abbas kepada saya.

"Duduk diam pun boleh memberi tekanan. Jadi waktu lapang saya mengikuti perkembangan politik melalui akhbar dan internet termasuk menghabiskan masa menulis," katanya yang pernah menulis sebanyak 30 buah buku pelbagai judul.

Katanya, Islam mengajar umatnya untuk tidak membazirkan waktu dengan melakukan perbuatan sia-sia malah ketika berehat pun manusia dituntut untuk melakukan sesuatau yang mendapatngkan manfaat yang menyebabakan beliau sendiri 'tidak duduk diam' dan sentiasa mengisi masa terluang dengan plebagai aktiviti.

Dalam pada itu mengulas isu kesihatan Ustaz Hadi berkata sebagai ahli politik yang perlu bercampur dengan segenap lapisan masyarakat, beliau menghadapi masalah untuk mengawal pemakanan yang menjadi antara punca terganggunya kesihatan beliau selama ini.

"Kita tidak boleh tentukan dan pilih makanan ketika bermasyarakat, pergi ceramah atau hadir ke majlis walaupun ada yang tahu tetapi kita raikan mereka dan saya pun tidak pernah memilih..semua boleh.

Image"Masalahnya sebelum ceramah mereka sajikan makanan dan selepas ceramah pun makan lagi.Kita tahu mereka sayang kepada pemimpin, dan menyediakan pelbagai jenis hidangan tapi...nampaknya kena ada kawalan sikitlah," katanya tersenyum.

Ustaz Hadi sempat menceritakan antara hobi yang 'dirindui' beliau yang sudah tidak dapat dilakukan secara kerap semenjak menjadi Presiden ialah turun ke laut menjala ikan.

"Itulah kalau ada masa, saya akan ikut bot-bot untuk ke laut menjala ikan...hobi saya sejak zaman kanak-kanak lagi. Ia memberi ketenangan dan saya dapat menghirup udara bersih," katanya ketika berbicara di dalam pejabatnya.

Ditanya tentang amalan harian beliau dan kaedah menghadapi pelbagai serangan fitnah dan tohmahan termasuk masalah-masalah dalam arena politik yang memberi tekanan atau 'stress' bagi sesetengah pemimpin politik, Ustaz Hadi berpandukan amalan yang ditinggalkan oleh Rasullulah s.a.w. kepada umatnya yang berada dalam gerakan Islam.

"Kalau ada banyak masalah, banyakkan solat... itu yang Nabi ajar. Solat pemberi semangat dan inspirasi kepada kita dan sebab saya itu tidak ada masalah yang rumit sehingga tidak boleh diselesaikan dan menganggu tidur saya.

"Bagi fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh musuh, saya anggap ianya memberi pahala kepada saya jika kita sabar.

Nasihat beliau kepada rakan-rakan politik terutama yang berada dalam gerakan Islam dan menghadapi segala cabaran daan rintangan ialah supaya sentiasa meningkatkan dan mendekatkan diri dengan Tuhan di samping menambahkan ilmu dengan membaca dan melaksanakan amalan agama sebaik mungkin. - mks.

Al-Fatihah:Rustam Sani Kembali Ke Rahmatullah


Seorang penulis,penganalisis politik serta blogger,Rustam Abdullah Sani telah kembali ke Rahmatullah jam 2:30 pagi tadi dalam usia 63 tahun.Menurut anaknya,Ariani,ayahnya meninggal dunia setelah terkena serangan jantung.

Menurut Ariani doktor juga mengesahkan Allahyaraham mengalami paru-paru berair.

Pemergian Allahyarham sememangnya mengejutkan orang ramai kerana beliau kelihatan sihat sehari dua ini.Malah beliau sempat mengeluarkan sebuah artikel terakhir dalam laman blognya kelmarin.

Menurut anak perempuan sulungnya itu, Allahyaraham dikatakan sangat ghairah dalam sehari dua ini membuat persiapan untuk pelancaran dua buku barunya; Faile Nation? Concerns of Malaysian Nastionalist dan Social Roots of The Malay Left, oleh Anwar Ibrahim dijangka pada 26 April, Sabtu jam 3:00 petang di Di Dewan Seminar Perpustakaan Raja Tun Uda, di Shah Alam.

Allahyarham juga merupakan seorang kolomnis dalam akhbar Siasah yang muncul setiap minggu di muka surat 19 di bawah kolom "Pandangan Rustam". Untuk beberapa keluaran lalu beliau tidak mengisi kolomnya kerana kesihatan kurang mengizinkan dan sibuk dengan persiapan buku barunya.

Allahyarham dilahirkan di Tanjung Malim Perak, 1944. Beliau merupakan anak kepada bapa pejuang kemerdekaan dan Melayu, Ahmad Boestaman. Dalam politik jawatan tertinggi yang pernah disandangnya ialah Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM). Hasil penggabungan PRM dengan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Beberapa tahun ke belakang beliau kurang aktif dalam parti kerana kesihatan dan menumpukan kepada penulis buku serta mengisi ruangan beberapa blognya. Pemikiran dan tulisan beliau boleh diikuti dalam blog, http://karya-merdeka.blogspot.com.Al-Fatihah
Write By: one_ummah90

MAMPAT:Kenyataan Akhbar: Royalti Petroleum Terengganu

Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum w.b.t.

MAMPAT merakamkan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Ahmad Said yang telah memberi respon yang sama dengan pernyataan yang dibuat oleh Majlis Permuafakatan Rakyat yang akan mula diperjuangkan. Pernyataan yang dinaksudkan telah dikeluarkan oleh MAMPAT menerusi blogs kami iaitu di http://mampat.blogspot.com bertarikh 18 April 2008 bersamaan dengan hari Jumaat yang lalu bertajuk Royalti VS Duit Ihsan.

Untuk makluman semua, jawatankuasa tertinggi MAMPAT telah mengadakan mesyuarat khas di rumah Penaung MAMPAT iaitu di rumah Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Bin Tengku Ismail pada hari Khamis, 17 April 2008. Menerusi mesyuarat tersebut, satu keputusan telah dibuat dimana MAMPAT akan memperjuangkan Hak & Maruah Rakyat Negeri Terengganu.

Memandangkan isu terbesar yang dihadapi oleh Raykat Terengganu adalah bagaimana untuk mendapatkan kembali ROYALTI, MAMPAT dengan ini ingin mengistiharkan bahawa MAMPAT akan mengetuai gerakan memohon dan menuntut agar dikembalikan semuala Hak & Maruah Rakyat Negeri Terengganu iaitu ROYALTI.

MAMPAT berpendapat isu ini adalah isu Rakyat dan akan didokongi oleh semua lapisan Rakyat Terengganu. Mengikut maklumat yang kami perolehi, rakyat Sabah dan Sarawak sehingga kini masih menikmati hasil ROYALTI sebanyak 5 % dan dijangkakan, kedua-dua rakyat negeri tersebut akan mendapat tambahan sebanyak 5 % lagi dan ini menjadikan mereka akan mendapat nikmat ROYALTI sebanyak 10 %.

Yang menjadi persoalannya adalah, KENAPA dan MENGAPA Rakyat Terengganu telah dinafikan Hak kami untuk mendapat dan menikmati rahmat ROYALTI sedangkan di antara Terengganu, Sabah & Sarawak, ketiga-tiganya mempunyai perjanjian yang serupa.

MAMPAT merasakan adalah tidak keterlaluan bagi kami Rakyat Terengganu untuk menuntut agar dikembalikan ROYALTI kepada kami Rakyat Terengganu sepertimana yang dinikmati di Sabah dan Sarawak. Ini adalah kerana Terengganu merupakan negeri ke 2 termiskin di Malaysia dan Negeri Termiskin di Semenanjung Malaysia sedangkan Terengganu merupakan pengeluar minyak tertinggi Negara ( lebih dari 56 %)

MAMPAT juga akan mengadakan satu KONVENSYEN yang berkaitan dengannya yang akan membabitkan semua pihak bag menggerakkan Gagasan Rakyat untuk menuntut kembali ROYALTI . Kembalikan Hak & Maruah kami Rakyat Terengganu.

MAMPAT juga yakin, Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Ahmad Said akan bersama-sama dengan Gelombang Rakyat yang dipimpin oleh MAMPAT, demi menjaga kepentingan Rakyat negeri Terengganu Darul Iman.

MAMPAT mengalu-alukan mana-mana NGO lain untuk turut bersama kami untuk menggerakkan Gelombang Rakyat ini dalam isu Menuntut agar dikembalikan ROYALTI kepada Rakyat Terengganu. MAMPAT boleh dihubungi melalui talian 013-9238685 iaitu Pengerusi MAMPAT iaitu Cikgu Mohamad Fauzi Bin Hj Abu Samah.

wassalam


Mohamad Fauzi Abu Samah
Pengerusi

APA KOMEN PENGUNJUNG BLOG MIKE TYSON

Pimpinan Abdullah Punca BN Kalah Teruk
Harap Agong Tak Perkenan Beliau Jadi PM
MAt Taib baca dan paksa Badawi letak jawatan, jangan bodekk

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajar mengosongkan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan serta merta dan tidak lagi layak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ini kerana prestasi BN dalam PRU12 - BN hanya beroleh majoriti mudah di peringkat Parlimen dan kehilangan kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, di samping Kelantan yang gagal di tawan semula sejak 1990 - adalah akibat kepimpinan beliau yang pincang, lemah dan amat ditolak oleh rakyat jelata.

Para penganalisis politik tanah air di beberapa rangkaian TV tempatan yang memberikan ulasan selari kepada keputusan PRU12 seolah-olah tercari-cari apakah sebab utama kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum kali ini.

Menerusi analisa saya berasaskan komen-komen rakyat jelata yang diluahkan menerusi media internet sejak setahun yang lalu, punca utama BN era Abdullah kalah teruk adalah kepincangan Abdullah kepimpinan Abdullah, kedolak-dalikan kenyataan dan keputusan Abdullah, perilaku menantu Abdullah yang manipulatif dan umpama kadok naik junjung, dan juga persepsi umum bahawa Malaysia kini seolah-olah sudah digadaikan kedaulatannya kepada sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.

Pada waktu yang sama, sejak kira-kira enam bulan yang lalu pula, beberapa kenyataan dan keputusan Abdullah kelihatannya seperti menjadikan orang Melayu tidak lagi relevan kepada usaha BN mempertahankan kuasanya menerusi pilihan raya umum.

Lantaran itulah wujud double standard dalam layanan era Abdullah terhadap kelompok Melayu yang berdemonstrasi di Batu Buruk, Terengganu, dengan kelompok Hindraf yang dituduh sebagai melakukan percubaan membunuh anggota polis sewaktu menunjuk perasaan di Kuala Lumpur.

Seluruh hakikat di atas banyak dipolemikkan menerusi internet. Seluruh hakikat di atas juga menyebabkan segolongan orang Melayu jadi terhiris hati dan terguris jiwa. Tetapi, Abdullah tidak ambil peduli. Akibatnya, hari ini, sindrom penafian Abdullah itu pun dimanifestasikan oleh rakyat jelata menerusi keputusan PRU12.

Oleh itu, Abdullah wajar mengosongkan kerusi Pengerusi BN dengan seberapa segera. Oleh itu juga, Abdullah tidak lagi wajar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Keputusan PRU12 membuktikan bahawa majoriti rakyat Malaysia tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap Abdullah untuk memimpin dan mentadbirkan negara ini.

Antara sebab-sebab utama mengapa Abdullah perlu mengosongkan kerusi kepimpinan BN dan tidak layak dilantik sebagai Perdana Menteri adalah seperti berikut:

Satu: Kerajaan BN pimpinan Abdullah kehilangan empat kerajaan negeri di samping Kelantan.

Dua: BN Pulau Pinang pimpinan Abdullah kehilangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tiga: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyaksikan empat menteri kabinetnya (termasuk dua presiden parti komponen BN) tewas dalam PRU12.

Empat: Kerajaan BN pimpinan Abdullah gagal menunaikan janjinya untuk mengurangkan kadar rasuah dan kronisme.

Lima: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menimbulkan persepsi umum bahawa ekonomi Malaysia hari ini seolah-olah sedang diasak oleh sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.

Enam: Kerajaan BN pimpinan Abdullah mewujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang menimbulkan persepsi umum bahawa Malaysia sedang digadaikan kedaulatannya kepada sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.

Tujuh: Malaysia pimpinan Abdullah yang menjadi pengerusi OIC dan NAM kelihatan tidak memberikan perjuangan yang berkesan di pelantar antarabangsa.

Tujuh: Kerajaan BN pimpinan Abdullah seolah-olah di kuasai sepenuhnya oleh menantu Abdullah dan kroni-kroninya sehingga menyebabkan kekecewaan rakyat jelata yang paling maksima.

Lapan: Kerajaan BN pimpinan Abdullah tidak mempunyai sensitiviti terhadap modal asing tertentu dalam perniagaan strategik negara dan juga seolah-olah tidak membuka peluang perniagaan kepada bumiputera.

Sembilan: Kerajaan BN pimpinan Abdullah kelihatan mengambil for granted sokongan Melayu terhadap BN walaupun jiwa orang Melayu diguris dan dihiris oleh beberapa kenyataan dan tindakan Abdullah sendiri.

Sepuluh: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menggula-gulakan rakyat jelata dengan projek-projek koridor mega yang trillion ringgit kosnya semata-mata untuk menutup kesilapan besar akibat pelancaran WPI.

Sebelas: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyebabkan kesangsaraan rakyat akibat kenaikan harga barang-barang keperluan dan kos sara hidup yang seolah-olah gagal dikawal.

Duabelas: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyaksikan peningkatan kadar jenayah dan menjadikan titik permulaan kekuasaan kumpulan penjenayah asing berleluasa di Malaysia.

Demikianlah di antara kepincangan dan ketempangan kepimpinan Abdullah. Perkara-perkara di atas sudah disuarakan secara meluas menerusi media alternatif. Tetapi, Abdullah dan sindrom penafiannya tidak mengambil hirau. Ini kerana Abdullah hanya mahu mendengar nasihat kumpulan pegawainya di Aras Empat JPM sahaja.

Kini nasi sudah menjadi bubur. Abdullah tidak mampu memperbaiki keadaan. Beliau wajar mengundurkan diri secara terhormat, bermaruah dan dengan segera. Ini akan membolehkan Malaysia yang dikuasai dengan hanya majoriti mudah di Parlimen, ditadbir oleh pihak yang lebih cekap, lebih sensitif kepada tuntutan rakyat jelata dan lebih prihatin terhadap pemeliharaan kedaulatan negara pada setiap masa.

Pak Lah Respon Permintaan Mad Said Dengan Alasan Remeh dan Tidak Jelas

Ditulis oleh SM Noor
Tuesday, 22 April 2008

Hari pertama selepas Mad Said mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan Pusat menyerahkan seluruh wang royalti untuk diuruskan oleh Kerajaan Terengganu, Perdana Menteri Malaysia. Abdullah Ahmad Badawi memberi respon yang negatif. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Mad Said dengan bersungguh-sungguh mengemukakan alasan-alasan sebagai justifikasi mengapa wang royalti harus kembali ke negeri dan rakyat Terengganu.

Antara alasan Mad Said adalah:

1. “Sejak Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) @ Wang Ehsan @ Royalti Petroleum diperkenalkan, semua projek yang dilaksanakan tidak merujuk kepada kerajaan negeri, menyebabkan banyak projek yang dilaksanakan gagal memberi impak kerana tidak mengambil kira keperluan rakyat.”

2. “buat jalan dalam hutan dengan kos hingga RM50 juta hingga RM60 juta, kita hanya tahu tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah seperti tanah ditarik balik dan sebagainya”.

3. ”Ada projek yang kita rancang... kita akui. Tetapi ada projek yang kita tidak rancang. Tiba-tiba sahaja kita dengar ada projek yang kita dapat, ini yang menjadi masalah... sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ehsan.”

4. ”Apabila kementerian melaksanakan sesuatu projek, ia adalah berasaskan kepentingan kementerian semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu, sedangkan wang yang dibelanjakan adalah wang rakyat”.

5. ”Saya cakap terus terang ada sesetengah projek yang saya sendiri secara peribadi tidak berpuas hati kerana dengan kos yang tinggi, tidak memberi keutamaan kepada rakyat sebaliknya orang lain tentukan bukan kita, sedangkan kita tuan rumah”.

6. “jika Kerajaan Pusat menyerahkan kembali hak pengurusan DKKP, ia akan memudahkan kerajaan Terengganu membuat perancangan tentang projek pembangunan yang hendak dilaksanakan”.

7. “kerajaan negeri mempunyai keutamaan sendiri dalam menentukan projek yang harus dilaksanakan terlebih dahulu dan jika wang itu ada pada kerajaan negeri, bajet dan perancangan akan menjadi lebih mudah”.

Tujuh hujah Mad Said kemukakan kepada Pak Lah kepada media supaya dihakimi oleh seluruh rakyat Malaysia betapa sebenarnya Dana Khas@Ehsan menyusahkan kerajaan dan rakyat negeri Terengganu,

Pak Lah hanya menjawab dengan jawaban yang sama dan di ulang-ulang:

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemberian wang ehsan sebagai ganti pembayaran royalti minyak daripada Kerajaan Pusat kepada Terengganu membawa kebaikan kepada rakyat negeri itu.

Perdana Menteri berkata pemberian itu yang dibuat menerusi satu langkah yang diputuskan sebelum ini sebenarnya membantu rakyat Terengganu mencapai kejayaan.

“Ada satu kaedah yang sudah kita buat dengan kewujudan wang ehsan ini, dan ini sebenarnya membantu rakyat negeri Terengganu selama ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama pada Dialog Integriti Asean 2008 di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar hari ini yang menyebut Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said meminta Kerajaan Pusat mengembalikan pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri itu - Sumber Bernama

Ex-gratia kepada Salleh Abas hanya politik-Tun Mahathir

Oleh: Wakil Agendadaily London

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikaitkan dengan krisis kehakiman 1988 menyifatkan keputusan kerajaan memberikan ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas hanya bersifat politik.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan atas alasan apa keputusan pemberian ex-gratia itu diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap pada satu majlis pertemuan dengan pelajar Malaysia di Manchester, England, beliau menolak tanggapan bahawa pemecatan hakim-hakim tersebut bercanggah dengan prosedur undang-undang yang telah ditetapkan.

“Kenapa bayaran pampasan ini perlu dibuat kerana keputusan (memecat hakim) dibuat mengikut undang-undang. Jika mereka boleh buktikan ia bercanggah dengan undang-undang, tolong buktikan kepada saya…sehingga kini mereka tidak dapat buktikan,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan membayar ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat ekoran krisis kehakiman pada tahun 1988.

Selain bayaran ex-gratia itu, Abdullah turut mengumumkan cadangan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman bagi meneliti dan membuat cadangan perlantikan hakim.

Mengulas mengenai penubuhan suruhanjaya itu, Dr. Mahathir berkata, cadangan penubuhan suruhanjaya berkenaan tidak boleh dilaksanakan hanya dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Sebaliknya, menurut beliau, penubuhan itu melibatkan pindaan perlembagaan persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada Ahli Dewan Rakyat.

Barisan Nasional kini hanya mempunyai 140 kerusi dan tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum yang lalu.

Bagaimanapun Dr. Mahathir secara sinis berkata, pindaan tersebut mungkin boleh dibuat kerana beliau yakin pembangkang akan turut sama menyokong cadangan berkenaan.

Dr. Mahathir pada sidang media itu juga berkata, keputusan pilihan raya umum yang lalu membuktikan rakyat sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan parti dan negara. – 20/4/2008

PRU-12 hapuskan 'kepercayaan tahyul' hanya BN layak memerintah

Basiron Abdul Wahab
Sun | Apr 20, 08 | 1:23:00 pm MYT

TEMERLOH, 20 April (hrkh) - Pilihan raya umum ke-12 berjaya menghapuskan 'kepercayaan tahyul' bahawa hanya Umno/BN sahaja yang boleh memerintah, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi.

Umno, katanya telah sekian lama menanamkan kefahaman di kalangan orang Melayu bahawa hanya parti itu sahaja yang boleh memerintah sehingga menjadi suatu keyakinan kepada masyarakat.

"Alhamdulilah, pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini telah menghapuskan keyakinan itu berikutan kekalahan Umno/BN di lima buah negeri," katanya ketika berucap di dalam majlis penerangan anjuran PAS Temerloh, dekat sini.

Nasruddin berkata, Umno kini berada di persimpangan walaupun parti itu belum kalah secara total dan masih berkuasa tetapi perkembangan semasa menunjukkan parti itu sedang menghadapi krisis kepimpinan yang parah dan perebutan kuasa di kalangan mereka tidak dapat tidak pasti akan berlaku. Beliau menyifatkan fenomena di dalam Umno bukan 'ibarat retak menanti belah' tetapi 'ibarat belah menanti hancur'.

"Itu belum kalah secara total, baru kalah sedikit sahaja sudah berlaku demikian," ujarnya.

Nasruddin yakin sekiranaya kelima-lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat rakyat mampu membawa pembaharuan dan kebaikan kepada raakyat, tamadun BN akan musna dan akan diganti oleh Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pakatan Rakyat, katanya telah menguasai 52 peratus undi di Semenanjung, BN hanya diselamatkan oleh pengundi Malaysia Timur iaitu Sarawak dan Sabah serta peneroka Felda di Semenanjung.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Parti KeAdilan Pahang, Ahmad Nizam Abdul Hamid menyifatkan Umno/BN yang tidak memperdulikan nasib rakyat (Melayu) sebelum pilihan raya umum, mula berubah wajah selepas menerima pengajaran dalam pilihan raya.

"Sebelum pilihan raya mereka tidak bercakap pun mengenai perpaduan Melayu, tiba-tiba selepas goyah dalam pilihan raya mula bercakap soal itu, juak �juak digunakan untuk memperkatakan soal perpaduan Melayu, dahulu mana suara Gapena, mana suara mereka, semuanya dibuat demi kepentingan Umno," katanya.

Beliau berkata, perkembangan partinya selepas pilihan raya menunjukkan sesuatu yang sangat menakjubkan di mana rakyat daripada pelbagai kaum menunjukkan minat untuk menyertai Pakatan Rakyat sama ada PAS, KeAdilan mahupun DAP.

Katanya di Temerloh sahaja pihaknya telah mengedarkan 3,000 borang keahlian parti KeAdilan, ia suatu perkembangan yang sangat menakjubkan bagi Pakatan Rakyat yang tidak pernah terfikir sebelum ini.

Ahmad Nizam yang juga Timbalan Ketua Parti KeAdilan Rakyat Temerloh meminta semua pendokong parti memperteguhkan ketahanan jiwa, semangat dan bekerja lebih kuat untuk memastikan Pakatan Rakyat terus berjaya. - mns

Kumpulan 11 muncul…dakwa Dr Mahathir penyebab UMNO haram

Bunyi nama kumpulan mereka seperti penyamun dan penyangak.Dalam sejarah UMNO ‘Kumpulan 11’ tercatat sebagai perosak yang akhirnya telah menyebabkan mahkamah membuat keputusan parti itu haram 20 tahun yang lampau.

Generasi muda hari ini mungkin tidak kenal wajah-wajah 11 orang ahli UMNO itu yang mempertikaikan kesahihan Perhimpunan Agung UMNO tahun 1987 yang menyaksikan pertandingan antara Team A Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Team B Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam pertandingan bersejarah pada 24 April 1987 itu Dr Mahathir menewaskan Tengku Razaleigh dengan majoriti cuma 43 undi.

Segalanya bermula bila kumpulan yang asalnya dianggotai oleh 12 orang itu merayu kepada ibupejabat UMNO supaya siasatan dibuat kerana mendakwa ada beberapa kes dimana ada mesyuarat UMNO cawangan dan bahagian tidak sah .

Selepas ia tidak dilaya baru mereka membawanya ke mahkamah.

Jika mesyuarat cawangan dan bahagian itu tidak sah maka dengan sendirinya perwakilan mereka yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO itu juga tidak sah.

Ini yang akhirnya membawa kepada Hakim Harun Hashim memutuskan UMNO haram.

Pagi Sabtu salah seorang anggota Kumpulan 11 itu,Rahim Abdul Rahman ( baju merah) mengadakan satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menuntut agar diperbetulkan fakta sejarah tentang fiasco pengharaman UMNO itu.

Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas Timbalan Menteri Pengangkutan,Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar ini tidak mahu lagi kumpulan itu terus menerus dipandang sebagai ‘ budak jahat’.

Rahim tampil ke depan setelah melihat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan kesungguhan beliau untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman negara.

Khamis malam Perdana Menteri menghadiri jamuan makan malam Majlis Peguam yang turut dihadiri oleh bekas Ketua Hakm Negara Tun Salleh Abas dan tiga lagi bekas hakim yang dipecat dari jawatan mereka oleh sebuah tribunal hakim 20 tahun lampau atas alasan melakukan salahlaku kehakiman.

Pemecatan Salleh dan lima lagi hakim dikaitkan dengan keputusan mahkamah mengharamkan UMNO ekoran pemilihan jawatan Presiden UMNO antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun1987.

Rahim yang kata beliau mewakili rakan-rakan lain dalam kumpulan itu ( ada yang sudah meninggal dunia) mendakwa bahawa UMNO haram kerana tindak tanduk Dr Mahathir yang tidak mahu melihat UMNO pulih sebab bimbang pemilihan UMNO perlu diadakan semula waktu itu.

Katanya tindakan mereka membawa kes mesyuarat cawangan dan bahagian yang tidak sah itu semata-mata bertujuan agar Perhimpunan Agung UMNO diadakan semula dan bukan hendak melihat UMNO haram.

Dakwa Rahim semasa mereka merayu kepada ibupejabat UMNO supaya siasatan dibuat Dr Mahathir dan Setiausaha Agung UMNO masa itu Tan Sri Sanusi Junid bersikap tidak demokratik tidak melayan dan menjawabnya dengan betul.

“Sebelum ini tidak seorang pun berani mempertikaikan tingkah laku Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid yang dengan sewenang-wenangnya mentabir parti mengikut acuan dan citarasa mereka,”katanya.

Beliau mendakwa Dr Mahathir tidak mahu Perhimpunan Agung UMNO diadakan semula kerana tidak yakin keputusan akan menyebelahi beliau jika pemilihan diadakan semula.

Dakwannya sebab itu bekas Perdana Menteri itu lebih suka melihat UMNO haram.

“Di situlah bermulanya episod The Grand Design of Mahathir ,”dakwa Rahim yang turut melibatkan pemecatan para hakim itu.

Katanya beliau sedia disaman oleh Dr Mahathir dan berdepan dengannya di mahkamah kerana membuat dakwaan ini.

Beliau juga kesal dengan cara bekas Perdana Menteri itu membangkitkan banyak isu berhubung dengan kepimpinan Abdullah iaitu orang yang beliau tunjuk mengantikannya.

“Soalnya apakah beliau merupakan the saints yang tidak terlepas daripada kesalahan dan dosa ?Soalnya apakah beliau lupa bahawa banyak kesalahan dan dosa beliau terhadap ahli-ahli UMNO dan rakyat masih belum tertebus?

“Pada hemat saya beliau sengaja melemparkan kritikan-kritikan pedas serta memperkecilkan YAB Perdana Menteri kerana tergugat oleh ketelusan YAB Perdana Menteri serta didorong oleh rasa takut bahawa kesalahan-kesalahan beliau akan terdedah satu demi satu,” dakwa Rahim.- 19/4/2008

MB Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin kini bergelar Dato' Seri

Ekmal Yusof
Sat | Apr 19, 08 | 10:47:07 am MYT

KUALA KANGSAR, 19 April (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin dikurniakan Pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) oleh Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Bukit Chandan dekat sini hari ini.

Beliau adalah di antara 46 orang kenamaan yang menerima Bintang Darjah Kebesaran Negeri Perak pada hari ini oleh Paduka Seri Sultan Azlan Shah sempena Sambutan Perayaan Keputeraan Baginda yang ke-80 tahun.

Senarai pertama penerima adalah Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Dato' Abdul Hamid Mohammad dengan Darjah Seri Paduka Curah Si Manja Kini (SPCM) dan dikuti Ketua Polis Negara Tan Seri Musa Hassan dengan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS).

Juga tidak ketinggalan Exco Kanan Perak, Ngen Koo Ham menerima Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) dengan membawa gelaran Dato'.

Malam tadi, Paduka Seri Sultan telah berkenan berangkat ke Bandar DiRaja Kuala Kangsar untuk menyaksikan permainan bunga api di dataran Tebing Kg. Sayong berhadapan Bandar tersebut. - mns

Menitis Air Mata?


Selaku EXCO Hal Ehwal Agama Islam, YB Dato’Dr Hassan Ali dengan sendirinya telah turun padang untuk memberi mesej yang sebenar mengenai tugas dan tanggungjawab setiap muslimin dan muslimat di negeri ini agar menepati ajaran Agama Islam yang syumul.

Beliau mengulas perkara tersebut dalam khutbah Jumaat yang disampaikan oleh beliau di Masjid As Syakirin, Gombak minggu lalu.

Antara inti pati khutbah yang disampaikan oleh beliau ialah mengingatkan diri beliau dan sidang jemaah agar melihat kembali sejauh manakah darjah ketakutan setiap umat yang mengaku Islam terhadap Allah s.w.t. Setiap minggu sidang jemaah diingatkan oleh Khatib tentang ketaqwaan, maka sekiranya ketaqwaan kita tidak bertambah dari minggu ke seminggu maka kita perlu semak semula kenapa ini berlaku. Beliau juga mengingatkan diri beliau serta sidang jamaah tentang kematian yang sentiasa mengampiri setiap insan tak kira setinggi mana jawatan sekali pun atau se kaya mana sekali pun, kematian itu satu kepastian.

Seterusnya, khutbah beliau mengupas tentang jawatan hakiki yang telah dianugerah oleh Allah s.w.t kepada setiap insan iaitu jawatan ‘Khalifah’ yang kebanyakkan orang terutamanya orang Islam telah lupa atau sengaja lupa melaksanakan tanggungjawab ini. Masyarakat kini sibuk mengejar jawatan duniawi sehingga lupa akan tugas dan tanggungjawab tersebut iaitu untuk memenangkan, mempertabatkan serta membesarkan Agama Allah s.w.t. Masyarakat kini sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mengekalkan jawatan duniawi yang tidak kekal tetapi mereka tidak sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk Agama Islam. Beliau mengambil contoh kedai judi yang mana kebanyakan pengunjungnya adalah orang Melayu yang mengaku Islam. Mereka sedar bahawa perbuatan itu haram tetapi mereka tidak sedar bahawa perbuatan itu telah mencemar Islam itu sendiri dari kacamata bangsa dan agama lain.

Di akhir khutbah, beliau berpesan agar Institusi Masjid memainkan peranan yang penting dan bertindak sebagai satu Universiti bagi melahirkan dan membentuk Khalifah Allah s.w.t.

Khutbah yang telah disampaikan oleh YB Dato’ mendapat perhatian serta menyentuh hati para jemaah dan ada dikalangan jemaah yang khusyu’ mendengarnya telah menitiskan air mata….

Semuga khutbah yang telah disampaikan tersebut akan membuka satu lembaran baru kepada rakyat Selangor amnya dan Gombak Setia khasnya untuk terus berusaha menegakkan Agama Allah s.w.t. kerana masyarakat akan terus dilanda permasalahan demi permasalahan sekiranya gagal menjalankan tugas hakiki terebut sebagai KHALIFAH ALLAH s.w.t.

Himpunan Reformis 1998-2008: Dailog dengan YB Pakatan Rakyat

Harakahdaily
Fri | Apr 18, 08 | 4:46:53 pm MYT

Bagi mensyukuri kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU 12, sekali gus untuk menjana generasi berkualiti bersama Pakatan Rakyat di era Malaysia Baru, Laman Web HR9808.blogspot.com menganjurkan himpunan reformis di tempat dan masa seperti berikut:

Tarikh: 19 April 2008 (Sabtu)

Jam: 6.00 ptg � 11 malam.

Tempat: Hotel KL International. Kg. Baru, KL.

Orang ramai yang berminat menyertai dijemput hadir.

Untuk pendaftaran sila hubungi Pusat Informasi: Gerai 59 dan 60, Jalan Melayu/ Jln. Masjid India. Kuala Lumpur. Dan maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menelefon Norzairi 019-3066016, Nora 012-3804575, Pak Mad 017-3467927, Syed Azizul 017-3491980 atau Nasir 012-3921976. - mns

Krisis Kehakiman - Abdullah 'perbetulkan' kesilapan Mahathir

Agendadaily.com
Fri | Apr 18, 08 | 10:27:01 am MYT


Suasana dalam dewan besar Hotel Marriot Kuala Lumpur Khamis malam memang cukup menarik. Ada wajah tokoh-tokoh dari Barisan Nasional dan begitu juga dari parti pembangkang. Ia bukan majlis politik tetapi jamuan makan malam Majlis Peguam.

ImagePaling mencuri perhatian tentulah di meja utama.Di situ Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk semeja dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.

Hadir sama ialah Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh dan Dato' George Seah iaitu tiga dari lima Hakim-Hakim Mahkamah Agung yang dipecat semasa krisis kehakiman pada 1988.

Manakala dua lagi Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh diwakili oleh keluarga masing-masing.

Ini adalah kali pertama mereka hadir dalam satu majlis dengan seorang Perdana Menteri sejak dipecat dari jawatan mereka oleh sebuah tribunal hakim 20 tahun lampau atas alasan melakukan salahlaku kehakiman.

Pemecatan Salleh dan lima lagi hakim dikaitkan dengan keputusan mahkamah mengharamkan Umno ekoran pemilihan jawatan Presiden Umno antara Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987.

Abdullah yang menunjukkan kesungguhan beliau untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman negara telah melantik Dato' Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kabinet selepas pilihanraya umum 8 Mac.Beliau diberi tanggongjawab khusus mencadangkan pembaharuan dalam badan berkenaan.

Kes klip video perbualan peguam Dato' VK Lingam telah mencetuskan berbagai andaian dan tandatanya mengenai kredibiliti badan kehakiman.

Abdullah telah menyampaikan ucap utama bertajuk bertajuk "Delivering Justice, Renewing Trust" yakni sampaikan keadilan,barui kepercayaan dimana beliau mengumumkan kerajaan akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi mengenal pasti dan mencadangkan nama-nama calon hakim kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata Suruhanjaya itu akan membantu menilai dan menyemak calon dalam cara yang bersistematik serta amanah untuk Perdana Menteri, berasaskan kepada kriteria yang ditakrifkan dengan jelas.

Bagaimanapun, hak perlembagaan Perdana Menteri untuk mengemukakan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong terus kekal, katanya.

Abdullah berkata kerajaan mencadangkan perubahan itu bagi menjadikan proses menamakan calon, pelantikan dan kenaikan pangkat lebih telus serta berperwakilan.

"Proses untuk membawa perubahan ini akan bermula sekarang dan saya memberi jaminan kepada anda semua di sini hari ini, bahawa rundingan mengenai fungsi dan struktur Suruhanjaya itu akan membabitkan pihak berkepentingan yang utama.

"Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyediakan input mereka kepada kerajaan," katanya.

ImageTurut hadir di majlis itu ialah Zaid, Presiden MIC Dato' Seri S Samy Vellu, Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar serta Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.

Sebagai tambahan, Abdullah berkata kerajaan akan memulakan semakan terma perkhidmatan dan ganjaran badan kehakiman.

"Terdapat keperluan mendesak untuk menetapkan gaji dan imbuhan di tahap yang betul bagi memastikan bidang kehakiman dapat menarik serta mengekalkan bakat yang terbaik di negara ini," katanya.

Abdullah berkata perkara ini dan langkah lain yang akan diumumkan apabila tiba masanya, akan membentuk pakej perubahan yang menyeluruh bagi memperkukuhkan kapasiti serta kredibiliti badan kehakiman.

Sekalipun kerajaan menolak cadangan oleh Zaid agar kerajaan memohon maaf ekoran pemecatannya para hakim dalam ucapannya, Abdullah turut membayangkan bahawa kerajaan mengiktiraf sumbangan Salleh, Azmi, Eusoffe, Wan Hamzah, Wan Suleiman dan Seah.

Abdullah berkata sebagai gantirugi kepada hakim-hakim berkenaan, kerajaan memutuskan untuk memberikan bayaran ex-gratia kepada mereka.

"Tuan-tuan, saya tidak membuat anggapan untuk menyamakan sumbangan, penderitaan dan kehilangan dengan sekadar matawang, tetapi saya harap tuan-tuan dapat menerimanya sebagai satu sumbangan tulus ikhlas bagi memperbaiki apa yang telahpun berlaku," kata beliau.

Abdullah berkata bagi kebanyakan orang, peristiwa pada 1988 merupakan satu pergolakan dalam sistem kehakiman negara memandangkan banyak yang mempertikaikan kesahan dan prinsip moral prosiding yang berkaitan.

"Bagi saya, secara peribadi, saya merasakan ia adalah tempoh krisis yang negara tidak akan kembali pulih sepenuhnya. Sekali lagi, tuan-tuan dan puan-puan, ayuh kita mara ke hadapan.

Saya tidak fikir bahawa meninjau semula keputusan yang lepas adalah tindakan yang bijak atau membantu memandangkan ia hanya akan memanjangkan kesan krisis itu -- sesuatu yang negara kita tidak perlukan.

Rakyat mahukan pergerakan dan kemajuan, bukan persengketaan yang berterusan.

"Oleh itu, katanya, kerajaan ingin mengiktiraf sumbangan keenam-enam hakim ini kepada negara, komitmen mereka dalam mendukung keadilan dan mengakui penderitaan serta kehilangan yang telahpun mereka tempuhi," katanya.

"Bagi Tan Sri Eusoffe dan Tan Sri Wan Suleiman serta keluarga mereka, saya tahu bahawa sentimen ini dibuat terlalu lambat.

Bagi Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah dan Dato' George Seah, sungguhpun pengakuan ini dibuat 20 tahun terlewat, namun ia dilakukan dengan sepenuh harapan agar sedikit sebanyak penderitaan dan kehilangan itu dapat kembali sembuh," katanya dengan disambut tepukan gemuruh.

Sambil mengakui bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk memulihkan kepercayaan oang ramai terhadap badan kehakiman negara dan bagi memastikan agar keadilan dilaksanakan secara konsisten, Perdana Menteri berkata apa yang beliau umumkan malam ini merupakan permulaan bagi satu proses yang lebih panjang ke arah perubahan.

"Saya dengan rendah diri ingin meminta sokongan tuan-tuan kepada langkah yang akan diambil ini memandangkan keperluan untuk melakukan perubahan ini mungkin tidak jelas sepenuhnya bagi semua orang.

"Kerajaan telahpun memulakan segala-galanya. Kami telahpun memulakan langkah awal namun penting. Kini terserah kepada semua pihak yang berkenaan -- badan kehakiman, badan peguam, masyarakat madani dan orang awam keseluruhannya -- untuk turut menjalankan peranan masing-masing dalam mempermudahkan perubahan ini," katanya.

Abdullah berkata menjadi harapannya agar "kita dapat memulakan babak baru bagi badan kehakiman Malaysia".

"Menjadi harapan saya bahawa usaha ini akan menjadi sebahagian daripada proses yang lebih besar untuk terus memperkukuhkan institusi demokrasi kita, menyelesaikan langkah demi langkah masalah yang sukar diselesaikan yang menghalang pembinaan negara yang tulen. Marilah kita menulis babak gemilang dan baru ini bersama-sama," katanya.

Salleh yang ditemui para wartawan lepas majlis itu berkata,"Saya tahu saya tidak boleh menang daripada segi undang-undang di hadapan kerajaan terdahulu tetapi doa saya dimakbulkan hari ini kerana saya diberikan kemenangan moral.

"Jadi malam ini semua orang boleh mengatakan yang kemenangan moral kini diberikan kepada saya," kata beliau,

"Saya bersyukur kepada Allah kerana bersifat pengasih dan penyayang kepada saya, saya menunggu selama 20 tahun dan doa saya telahpun dimakbulkan," ujarnya. - mr

Perlu kuasai Pusat untuk laksana hudud

Oleh Dato’ Dr Haron Din

SOALAN: Apakah apabila PAS menjadi pemerintah sesebuah negeri, undang-undang hudud Islam menjadi keutamaan? Wajib disegerakankah atau pun bukan keutamaan. Jika bukan, apa pula keutamaan PAS dalam pemerintahannya. Mohon Dato’ perjelaskan. - UBAIDAH SALIM, Sepang.

JAWAPAN: Anda perlu memahami terlebih dahulu bahawa sistem pemerintahan di Malaysia terbentuk daripada dua sistem perundangan iaitu, pertama, pemerintah Kerajaan Pusat atau ‘Federal Government‘ dan kedua, Kerajaan Negeri atau ‘State Government‘.

Kerajaan Pusat dibentuk selepas parti politik memenangi majoriti kerusi-kerusi Parlimen. Demikian juga di negeri-negeri, mana-mana parti yang dapat membentuk majoriti mudah, maka merekalah yang membentuk kerajaan.

Kuasa tertinggi adalah Kerajaan Pusat, mengikut kehendak Perlembagaan, kerajaan negeri perlu patuh dan tertakluk dengan kuasa Kerajaan Pusat.

Kerajaan negeri tidak boleh membuat undang-undang sendiri yang bercanggah dengan Kerajaan Pusat.

Oleh kerana itu, persoalan hudud adalah termasuk dalam peruntukan undang-undang yang dibolehkan oleh Kerajaan Pusat atau tidak. Buat sementara ini Kerajaan Pusat tidak meluluskan undang-undang berkait hudud dilaksanakan di peringkat negeri.

Ini bererti bahawa undang-undang hudud perlu patuh kepada Perlembagaan Malaysia, maka dengan sendirinya, jika PAS tidak menguasai Kerajaan Pusat atau Perlembagaan yang ada belum diubah, ia tidak dapat dilaksanakan.

Jika sekiranya negeri mahu melaksanakan undang-undang hudud, ia mesti mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan.

Dengan pemahaman yang mudah, kerajaan-kerajaan negeri PAS, belum diizinkan untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Kita perlu bersabar sehingga Kerajaan Pusat dikuasai oleh PAS sehingga Perlembagaan Persekutuan dapat diubah, maka barulah ia menjadi keutamaan.

Untuk sekarang ini kita mengambil panduan daripada al-Quran, tentang apakah keutamaan PAS dalam soal pemerintahan.

Ia mesti berpegang kepada dasar PAS, ia termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 7 (1) yang menyebut bahawa, “Adapun hukum yang tertinggi sekali pada pegangan PAS adalah Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.”

Merujuk kepada al-Quran, Allah memberi keutamaan, panduan kepada pemerintah Islam yang perlu melakukannya apabila berkuasa sebagaimana firman Allah (mahfumnya): “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj, ayat 41)

Kesimpulannya, keutamaan yang perlu disegerakan; pertama, memperkukuh hubungan dengan Allah menerusi menanam aqidatuttauhid yang sebenar, membasmi kesyirikan kepada Allah, menyebarkan ilmu Islam bagi memahamkan manusia umum akan Islam yang sebenar, mengajak mereka mengamalkan ajaran Islam, menghidupkan institusi agama agar ianya benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya.

Kedua, memberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi, khususnya kepada golongan bawahan, fakir miskin agar mereka terbela menerusi pemberian zakat.

Sebagainya perintah Rasulullah SAW (mafhumnya) “Ambillah harta daripada golongan berada dan bahagikannya kepada golongan kurang berada.” Itulah yang dilambangkan dengan zakat.

Sekiranya semua zakat yang wajib atas umat Islam yang berada (kaya) di sesebuah negeri (khususnya di Selangor), dikumpul dengan cara yang berkesan dan sempurna, serta diagihkan kepada golongan yang miskin dengan cara yang betul, maka bayangkanlah apa yang akan berlaku.

Ketiga, makruf ditegakkan. Makruf ialah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT. Apa sahaja yang diperintah, hendaklah dicari jalan bagaimana mahu melaksanakannya sehingga syiar Islam tertegak dan kebaikan Islam terserlah, serta nilai-nilai murni menjadi amalan masyarakat.

Keempat, mencegah kemungkaran. Mengikut aturcara yang sesuai dan langkah-langkah pencegahan yang efektif lagi berwibawa, menuju penghapusan nilai-nilai negatif yang tidak disukai wujud dalam masyarakat.

Kelima, berserahlah kepada Allah SWT untuk menentukan yang sebaiknya dalam perlaksanaan semua urusan yang dilaksanakan menurut perintah-Nya. Wallau’alam.

Keadaan kesihatan Hadi Awang bertambah baik


KUALA TERENGGANU: Keadaan kesihatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diserang angin ahmar ringan, kini bertambah baik dan beliau dijangka keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dalam tempoh terdekat.

Anak sulung kepada anggota Parlimen Marang dan anggota Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu, Muhammad Khalil, 31, berkata doktor memaklumkan bahawa bapanya kini perlu banyak berehat.

"Saya pun tidak pasti bila bapa boleh pulang...saya hanya diberitahu (Abdul Hadi boleh keluar) dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui di hospital itu petang ini.

Abdul Hadi, 61, dimasukkan ke HSNZ kirakira 7.30 pagi semalam, akibat diserang penyakit itu pada kirakira pukul 5 pagi ketika bangun bersahur untuk puasa sunat.

Sementara itu, Abdul Hadi yang ditemui di wadnya berkata: "Saya okay...cuma perlu banyak berehat".

Beliau kelihatan ceria apabila menerima kunjungan ahliahli politik dan orang ramai.

Antara kenamaan yang melawat beliau ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tiba di hospital berkenaan kirakira pukul 5.30 petang.

Ketika ditemui pemberita, Anwar yang melawat Abdul Hadi hampir 40 minit, berkata keadaan kesihatan pemimpin utama PAS itu semakin baik dan beliau sempat berjenaka.
BERNAMA

Abdullah akui beliau antara penyebab BN kehilangan undi

JOHOR BAHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui beliau merupakan di antara faktor yang telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi pada pilihan raya umum ke-12 bulan lepas.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, disebabkan perkara tersebut beliau merasakan bertanggungjawab untuk berbuat sebaikbaiknya bagi memulihkan BN dan Umno.

"Saya merasakan saya adalah penyebab kepada `pembuangan undi' (undi tidak diberikan) kepada Barisan Nasional. Dan saya merasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknyabaiknya untuk memulihkan BN dan Umno," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan Badan Perhubungan Umno Johor yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden Umno, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak hadir kerana Menteri Pelajaran itu kini berada di Paris atas urusan rasmi kerajaan.

Perdana Menteri berkata, beliau memahami banyak perkara dan antaranya ialah perubahanperubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat sebelum ini tetapi masih belum ditunaikan oleh kerajaan sehingga kini.

Perubahan yang dijanjikan kepada rakyat itu, katanya meliputi pelbagai perkara seperti sistem kehakiman, pembanterasan rasuah, menurunkan kadar jenayah serta hubungan di antara kaum di negara ini.

Bagaimanapun, katanya ada di antara perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan itu perlu mengambil masa sebelum ianya menunjukkan hasil yang positif.

"Oleh kerana itu, saya akan terus memberikan perhatian untuk membawa perubahanperubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat. Malah ia telahpun dimasukkan di dalam janjijanji kerajaan BN di dalam manifesto (BN) pada (pilihan raya umum) 2004," katanya.

Abdullah berkata, sejak 2004 beliau telah berusaha untuk menangani beberapa masalah seperti keadaan defisit kewangan negara yang besar, isuisu ekonomi dan pembangunan serta yang berkaitan dengan pembaharuan syarikatsyarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Di dalam pengubalan dasardasar oleh kerajaan, Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa memastikan ianya dapat diterima oleh rakyat dan sebarang kesilapan akan diperbaiki secepat mungkin.

"Dasardasar yang dilaksanakan itu sentiasa diberikan perhatian, di mana ada silapsilapnya, kita akan memperbaikinya secepat mungkin supaya ia tidak membebankan rakyat," katanya.

Mengenai perjumpaan itu, Abdullah berkata mereka telah berbincang secara terbuka tentang beberapa perkara berkenaan kedudukan parti.

"Saya mengambil kesempatan dari perjumpaan hari ini untuk menghuraikan beberapa isu yang perlu difikirkan bersama (oleh anggota Perhubungan Umno Negeri)," katanya.

Katanya anggota Badan Perhubungan Umno Johor juga mengemukakan beberapa cadangan kepada beliau tentang usahausaha memulihkan parti, tetapi enggan mengulas lanjut. BERNAMA

Stadium Melawati bergema laungan takbir, reformasi, Makkal Shakti



Oleh Saidah Hairan
Foto Wan Zahari Wan Salleh

Jika selama ini Stadium Melawati bergema dengan tepukan dan sorakan penyokong pelbagai jenis sukan, tetapi malam 31 Mac terukir dalam sejarah, stadium tersebut bergema laungan 'Allah Hu Akbar', 'Reformasi' dan 'Makkal Shakti'.

Laungan suara rakyat menandakan berakhirnya penyeksaan selama mereka khususnya rakyat Selangor berada di bawah pemerintahan BN-Umno.

Lebih 25,000 rakyat membanjiri stadium yang hanya menyediakan 15,000 kerusi. Stadium yang selama ini dijadikan tempat bermain badminton telah bertukar wajah.


Dari wajah bersorak tanpa mengenal batas pergaulan, muslimin dan muslimat bersatu hati rukuk dan sujud menunaikan solat Isyak dan Hajat yang dipimpin oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Lagu Negaraku dan Bersatulah (lagu PAS) turut dinyanyikan dengan penuh semangat oleh lebih 25,000 hadirin. Kelihatan bendera PAS, KeADILan dan DAP berkibar di segenap penjuru. Sungguh menakjubkan.

Wajah-wajah yang hadir dalam program Himpunan Rakyat kelihatan ceria. Lebih 20 bas persiaran, kilang dan sekolah berada di tempat letak kenderaan bersebelahan stadium. Image

Bukan hanya rakyat Selangor bahkan Kelantan; Pahang; Negeri Sembilan; Johor; Wilayah Persekutuan dan Terengganu turut hadir dalam program tersebut. Mereka mahu bersama meraikan kemenangan Selangor walaupun di bawah Pakatan Rakyat.

Turut hadir dalam program gilang gemilang itu antaranya, To' Puan Zainab Awang (isteri Presiden); Ketua Muslimat Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan; ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali; ahli Parlimen dan Adun PAS Selangor.

Semua pimpinan yang berceramah sepakat mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Selangor yang memilih PAS, KeADILan dan DAP dalam pilihan raya, 8 Mac lalu. Tuan Guru Abdul Hadi dalam ceramahnya mencadangkan agar satu gagasan pakatan politik baru ditubuhkan bagi mendepani cabaran politik baru di Malaysia.

Katanya, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada gabungan PAS, KeADILan dan DAP yang diberikan mandat besar wajar menghulurkan tangan kepada rakan-rakan dalam BN khasnya wakil-wakil rakyat Umno, MCA, MIC dan Gerakan. Image

Menurut beliau, ia perlu dilakukan supaya bersama-sama menyertai gagasan politik baru bagi membina negara yang lebih selamat, sejahtera dan makmur.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang berkata, ternyata hasil gelombang kebangkitan rakyat dalam pilihan raya lalu, BN semakin dipinggirkan dan tidak relevan dalam arus politik negara.

Katanya, gagasan pakatan itu perlu menyemak semula dengan meminda atau menghapuskan mana-mana undang-undang dan peraturan yang zalim dan mendiskriminasi terutamanya ISA, Auku, OSA dan sebagainya.

Beliau berharap gagasan itu perlu segera melakukan reformasi terhadap amalan demokrasi dalam negara dengan memulihkan proses pilihan raya sebagaimana yang dituntut rakyat dan badan-badan bukan kerajaan khususnya yang melibatkan bidang tugas dan operasi SPR.

Presiden PAS turut menekankan supya Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi kebebasan sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang efektif dan tidak mengamalkan pendakwaan terpilih. Image

Katanya, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan ianya benar-benar bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau kuasa politik juga perlu dikembalikan.

Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim turut menyentuh jiwa rakyat Selangor apabila beliau memulakan ucapan dengan menyanjung pengorbanan rakyat untuk menyokongnya.

"Kalau tidak ada tuan-tuan, saya tidak ada di sini, jadi saya terhutang budi, budi ini sangat besar, saya dan rakan-rakan akan balas, insya-Allah," luah beliau pada awal ucapan.

Beliau yang berbaju Melayu kuning itu melahirkan ketakutan dengan kepercayaan Presiden PAS yang menyokongnya menjadi Menteri Besar Selangor.

Di hadapan puluhan ribu rakyat beliau berjanji akan memansuhkan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), akta percetakan dan penerbitan. Image

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyatakan kemenangan rakyat Selangor membuktikan bahawa suara rakyat negeri termaju itu telah dapat disatukan.

Katanya, tiga parti yang berbeza fahaman dan agama PAS, KeADILan dan DAP dapat bersatu dan bekerjasama untuk menjamin keadilan rakyat.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bachok berkata, setelah 50 tahun merdeka dan 12 kali rakyat menghadapi pilihan raya baru kali ini rakyat berani membuktikan kebenaran.

"Orang sudah tidak guna dacing saya yakin dalam pilihan raya ke-13 keris dan dacing akan dicampak oleh rakyat," katanya sambil disambut sorakan dan laungan takbir.

Menurut beliau, bukan sahaja rakyat tidak percaya dengan Umno bahkan pimpinan mereka sendiri turut tidak mempercayai kredibiliti pimpinan parti itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali turut memperkenalkan ahli Parlimen, Adun serta exco PAS. Dalam ceramah itu beliau berjanji semua wakil rakyat akan berusaha melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab secara adil dengan menghapuskan segala kezaliman yang menjadi amalan pimpinan BN-Umno.

"Kita akan pastikan tiada seorang pun rakyat Selangor sama ada kaum India dan Cina yang diketepikan haknya," katanya.

Dalam mesyuarat pertama exco di pejabat SUK beliau rasa terharu dengan kesungguhan Menteri Besar sendiri yang membaca doa.

Beliau yang diamanahkan menjadi exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam berkata; "Saya terharu mendengar bacaan doa beliau seolah-olah beliau menahan air mata, air mata untuk menjadi hamba rakyat'.

Sehubungan itu tambah beliau, kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor tidak mempunyai erti jika Allah tidak menyayangi dan mencintai hamba-Nya.

Pengarah program, Dr Osman Sabran menyatakan setelah 50 tahun Umno-BN memerintah barulah rakyat Selangor dapat menikmati hak mereka yang dinafikan oleh pimpinan kerajaan.

Beliau mengingatkan ahli dan pimpinan PAS, KeADILan dan DAP perlu sepakat dan bersatu hati menjaga harta benda yang selama ini dirampas oleh BN.

Program berikut dijangka pada 3 Mei di Stadium Melawati, antara penceramahnya Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu. - lanh /harakahdaily.net

Pandangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Tentang Kerajaan-Kerajaan Pembangkang Yang Baru Dibentuk

1) Rakyat patut memuji kepimpinan Kerajaan dan rakyat Kelantan. Mereka terkenal dengan kematangan politik. Walaupun media yang bongkak menghina mereka sebelum pilihanraya berlaku, namun mereka telah berjaya merentasi pilihanraya dengan jayanya –alhamdulillah-. Di kala negeri-negeri lain masih dalam kekalutan, Kelantan tenang dan damai dengan keputusan yang dibuat oleh rakyatnya. Mudah-mudahan itu sebagai tanda bahawa Islam yang dilaungkan di Kelantan benar-benar mendapat keberkatan Allah. Bumi Kelantan adalah antara benteng-bentang umat Islam di negara ini. Wajib kepada seluruh muslimin terus membantu hasrat Islam yang dilaungkan, selagi zahir padanya keikhlasan bukan bertujuan politik semata. Masih banyak ruang yang boleh dilakukan untuk mengangkat imej Islam di negeri berkenaan.

2) Kerajaan Baru Kedah adalah harapan umum agar prinsip-prinsip siasah Islam yang menekankan soal keadilan dan kemaslahatan rakyat dalam dasar dan perlaksanaan benar-benar dapat dihayati. Mereka perlu bernafas panjang dalam mengambil sesuatu tindakan agar kegopohan parti mereka di Trengganu dahulu tidak berulang. Kelihatannya YAB Menteri Besar Kedah yang baru, mampu menonjolkan ciri-ciri kematangan politik yang baik di peringkat awal ini. Pegangan ‘siasah untuk maslahah ummah’ amat penting agar tidak timbul sama sekali unsur politik membalas dendam. Kita berdoa agar prinsip-prinsip Islam yang damai, harmoni lagi adil dapat dikecapi oleh rakyat Kedah menerusi kerajaan mereka yang baru.

3) Kerajaan Baru Selangor sebenarnya berhadapan dengan situasi yang amat sengit. Ini kerana, Selangor adalah negeri maju, rakyatnya mungkin lebih sensitif dan kritis. Kedudukan Selangor yang terdedah kepada dunia yang lebih terbuka, menjadikannya kayu pengukur golongan cerdik pandai sejauh manakah slogan golongan pembaharuan politik ini dapat direalisasikan. Nampaknya tawaran-tawaran Kerajaan Baru Selangor mampu menzahirkan prinsip pemerintah mengutamakan rakyat seperti yang menjadi teras siasah dalam Islam. Kita amat berharap ketelusan dan kejujuran akan menjadikan mereka lebih unggul dibandingkan kerajaan sebelum ini.

4) Ada pun Perak, saya belum dapat melihat perkembangannya. Namun keperibadian yang baik YAB Menteri Besar yang baru mudah-mudahan mengundang pertolongan Allah untuk pentadbirannya.

Sekali lagi saya ingin sebut, seperti yang sering nyatakan dalam berbagai tulisan dan kenyataan saya, bahawa “laksanakanlah keadilan dan ketelusan, di situlah akan lahirnya cinta rakyat dan keberkatan Allah. Jangan ulangi segala bentuk penyelewengan dan kebongkakan yang pernah dilakukan oleh mereka yang lain sebelum ini, kerana pada bongkah, sombong dan tidak telus itu mengundang kebencian rakyat dan kemurkaan Allah”.

PAS, DAP dan KeADILan setuju tubuhkan Pakatan Rakyat

Harakahdaily
Tue | Apr 01, 08 | 2:00:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) - Pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti KeADILan, DAP dan PAS bersetuju menubuhkan Pakatan Rakyat, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pagi ini, kata Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar itu turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah serta delegasi masing-masing.

Mesyuarat hari ini mencadangkan untuk memantapkan kerjasama di atas nama Pakatan Rakyat dan nama ini akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan jawatankuasa pusat masing-masing dalam masa yang terdekat.

"Pakatan Rakyat berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Dengan keputusan ini, bermakna kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor nanti akan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat," jelas Anwar.

Beliau berkata, dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar yang akan ditentukan dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Beliau menambah, ketiga-tiga parti akan bermesyuarat di peringkat jawatankuasa masing-masing bagi mengemukakan cadangan kepada sekretariat bersama Pakatan Rakyat yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, bagi memantapkan pemahaman semua dasar yang akan dibentangkan wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008, di sebuah lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.