LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Showing posts with label selangor. Show all posts
Showing posts with label selangor. Show all posts

Sultan Selangor Gantung Gelaran Liong Sik Dan Phang

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan supaya Darjah Kebesaran Negeri yang membawa gelaran "Datuk" yang dikurniakan kepada bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik digantung.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud berkata baginda juga menitahkan agar darjah kebesaran negeri yang dikurniakan kepada bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datin Paduka O.C. Phang, turut digantung.

Tindakan itu diambil setelah Ling dan Phang dihadapkan ke mahkamah berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara," kata Ramli.

Beliau berkata keputusan penggantungan itu dibuat setelah Dewan Diraja Selangor bersidang pada 19 Ogos lepas.

Ramli berkata penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran bagi Ling dan Phang akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan mereka tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Ling dan Phang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Ling pada 1992, manakala Darjah Kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang membawa gelaran "Datin Paduka" dikurniakan kepada Phang pada 2001.-BERNAMA

Sekitar Laporan BPR terhadap Isteri Khir Toyo


Oleh Amin Iskandar @ Black

Hari ini, Parti Keadilan Rakyat (KeAdilan) negeri Selangor membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap isteri kepada bekas MB Selangor (Khir Toyo), Zaharah Kechik.

Laporan dibuat kepada BPR berikutan dengan dakwaan pemindahan dana sebanyak RM 9.9 juta oleh Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) ke akaun Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri (Bakti) Kerajaan Pusat.

Laporan BPR ini diketuai oleh Ketua Penerangan KeAdilan Negeri Selangor, Mohd. Nasharudin Abdul Aziz dan pimpinan negeri Selangor bersama-sama dengan Badrul Hisham Shaharin, Ahli MPT KeAdilan.

Laporan setebal 15 muka surat itu diserahkan oleh Mohd. Nasharudin kepada Pegawai BPR Selangor, Mohd Anuar.

Ketika Nasharudin, Badrul dan dua orang lagi pimpinan KeAdilan membuat laporan rasmi dipejabat Mohd Anuar, Timbalan Ketua Bahagian KeAdilan Bahagian Petaling Jaya, Sarifuddin Budin mengetuai beberapa orang lagi untuk merentangkan “banner” yang berbunyi, “Bapa borek, anak rintik, Suami sebat isteri rembat, Zaharah… Pulangkan dana Balkis”.

Selepas selesai membuat laporan, Mohd Nasharudin yang ditemui wartawan mengatakan bahawa pegawai BPR menasihatinya dan rakan-rakan agar tidak mendedahkan laporan setebal 15 muka surat tersebut.

Selain daripada itu, pegawai BPR menyatakan kepada beliau siasatan terhadap Zaharah Kechik dan Balkis akan dimulakan oleh kerana laporan yang dibuat oleh KeAdilan Selngor tersebut memberikan alasan kepada BPR untuk memulakan tindakan.

Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8 Shah Alam diimarahkan semula


Saidah Hairan | Foto Nasir Sudin
Fri | Apr 25, 08 | 12:39:48 pm MYT

SHAH ALAM, 25 April (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam meraikan penduduk yang mengadakan majlis kesyukuran di Surau Ar-Rahmah, Seksyen 8 di sini, menandakan berakhirnya tindakan menyita rumah Allah itu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selama lapan bulan. Image

Surau tersebut disita pada awal September tahun lalu gara-gara mempunyai dua imam ketika menunaikan solat jemaah waktu maghrib dan isyak.

Turut hadir dalam majlis kesyukuran tersebut, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam; Dato' Dr Hassan Mohamed Ali; exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari; Pengarah Jais, Dato' Mohamed Khusrin Munawi; Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Mahd Nor; Ketua Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Dato' Munir bin Bani; dan Ahli Parlimen Shah ImageAlam, Khalid Samad yang juga Timbalan Pesurujaya PAS Selangor.

Dalam ucapannya, Khalid mengingatkan penduduk Seksyen 8 melupakan perselisihan faham sehingga menyebabkan tindakan tegas diambil sehingga membawa kepada penutupan surau tersebut.

"Saya diminta oleh Tuanku menyatakan bahawa pembukaan Surau Ar-Rahmah ini sangat penting bagi menjamin perpaduan umat Islam di Selangor," katanya.

Beliau berjanji akan memberi kemudahan dan sokongan Imageterhadap aktiviti yang dilakukan oleh jemaah surau.

"Alhamdulillah, harta negeri Selangor banyak asalkan jangan disalahgunakan," katanya.

Menurut beliau, pemimpin Islam perlu menunjukkan bahawa Islam itu amat adil, bijak dalam mentadbir dengan semua bangsa akan mendapat manfaat berada di bawah naungannya.

Beliau percaya jika pemimpin Islam dapat mentadbir Imagekerajaan secara amanah, ikhlas dan efisen bermakna pembangunan negara dan negeri akan memberi keselesaan kepada seluruh rakyat.

Katanya, pemimpin Islam perlu mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abd Aziz walaupun hanya memerintah selama dua tahun, rakyatnya tidak ada yang miskin. - lanh

Stadium Melawati bergema laungan takbir, reformasi, Makkal Shakti



Oleh Saidah Hairan
Foto Wan Zahari Wan Salleh

Jika selama ini Stadium Melawati bergema dengan tepukan dan sorakan penyokong pelbagai jenis sukan, tetapi malam 31 Mac terukir dalam sejarah, stadium tersebut bergema laungan 'Allah Hu Akbar', 'Reformasi' dan 'Makkal Shakti'.

Laungan suara rakyat menandakan berakhirnya penyeksaan selama mereka khususnya rakyat Selangor berada di bawah pemerintahan BN-Umno.

Lebih 25,000 rakyat membanjiri stadium yang hanya menyediakan 15,000 kerusi. Stadium yang selama ini dijadikan tempat bermain badminton telah bertukar wajah.


Dari wajah bersorak tanpa mengenal batas pergaulan, muslimin dan muslimat bersatu hati rukuk dan sujud menunaikan solat Isyak dan Hajat yang dipimpin oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Lagu Negaraku dan Bersatulah (lagu PAS) turut dinyanyikan dengan penuh semangat oleh lebih 25,000 hadirin. Kelihatan bendera PAS, KeADILan dan DAP berkibar di segenap penjuru. Sungguh menakjubkan.

Wajah-wajah yang hadir dalam program Himpunan Rakyat kelihatan ceria. Lebih 20 bas persiaran, kilang dan sekolah berada di tempat letak kenderaan bersebelahan stadium. Image

Bukan hanya rakyat Selangor bahkan Kelantan; Pahang; Negeri Sembilan; Johor; Wilayah Persekutuan dan Terengganu turut hadir dalam program tersebut. Mereka mahu bersama meraikan kemenangan Selangor walaupun di bawah Pakatan Rakyat.

Turut hadir dalam program gilang gemilang itu antaranya, To' Puan Zainab Awang (isteri Presiden); Ketua Muslimat Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan; ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali; ahli Parlimen dan Adun PAS Selangor.

Semua pimpinan yang berceramah sepakat mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Selangor yang memilih PAS, KeADILan dan DAP dalam pilihan raya, 8 Mac lalu. Tuan Guru Abdul Hadi dalam ceramahnya mencadangkan agar satu gagasan pakatan politik baru ditubuhkan bagi mendepani cabaran politik baru di Malaysia.

Katanya, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada gabungan PAS, KeADILan dan DAP yang diberikan mandat besar wajar menghulurkan tangan kepada rakan-rakan dalam BN khasnya wakil-wakil rakyat Umno, MCA, MIC dan Gerakan. Image

Menurut beliau, ia perlu dilakukan supaya bersama-sama menyertai gagasan politik baru bagi membina negara yang lebih selamat, sejahtera dan makmur.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang berkata, ternyata hasil gelombang kebangkitan rakyat dalam pilihan raya lalu, BN semakin dipinggirkan dan tidak relevan dalam arus politik negara.

Katanya, gagasan pakatan itu perlu menyemak semula dengan meminda atau menghapuskan mana-mana undang-undang dan peraturan yang zalim dan mendiskriminasi terutamanya ISA, Auku, OSA dan sebagainya.

Beliau berharap gagasan itu perlu segera melakukan reformasi terhadap amalan demokrasi dalam negara dengan memulihkan proses pilihan raya sebagaimana yang dituntut rakyat dan badan-badan bukan kerajaan khususnya yang melibatkan bidang tugas dan operasi SPR.

Presiden PAS turut menekankan supya Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi kebebasan sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang efektif dan tidak mengamalkan pendakwaan terpilih. Image

Katanya, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan ianya benar-benar bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau kuasa politik juga perlu dikembalikan.

Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim turut menyentuh jiwa rakyat Selangor apabila beliau memulakan ucapan dengan menyanjung pengorbanan rakyat untuk menyokongnya.

"Kalau tidak ada tuan-tuan, saya tidak ada di sini, jadi saya terhutang budi, budi ini sangat besar, saya dan rakan-rakan akan balas, insya-Allah," luah beliau pada awal ucapan.

Beliau yang berbaju Melayu kuning itu melahirkan ketakutan dengan kepercayaan Presiden PAS yang menyokongnya menjadi Menteri Besar Selangor.

Di hadapan puluhan ribu rakyat beliau berjanji akan memansuhkan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), akta percetakan dan penerbitan. Image

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyatakan kemenangan rakyat Selangor membuktikan bahawa suara rakyat negeri termaju itu telah dapat disatukan.

Katanya, tiga parti yang berbeza fahaman dan agama PAS, KeADILan dan DAP dapat bersatu dan bekerjasama untuk menjamin keadilan rakyat.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bachok berkata, setelah 50 tahun merdeka dan 12 kali rakyat menghadapi pilihan raya baru kali ini rakyat berani membuktikan kebenaran.

"Orang sudah tidak guna dacing saya yakin dalam pilihan raya ke-13 keris dan dacing akan dicampak oleh rakyat," katanya sambil disambut sorakan dan laungan takbir.

Menurut beliau, bukan sahaja rakyat tidak percaya dengan Umno bahkan pimpinan mereka sendiri turut tidak mempercayai kredibiliti pimpinan parti itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali turut memperkenalkan ahli Parlimen, Adun serta exco PAS. Dalam ceramah itu beliau berjanji semua wakil rakyat akan berusaha melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab secara adil dengan menghapuskan segala kezaliman yang menjadi amalan pimpinan BN-Umno.

"Kita akan pastikan tiada seorang pun rakyat Selangor sama ada kaum India dan Cina yang diketepikan haknya," katanya.

Dalam mesyuarat pertama exco di pejabat SUK beliau rasa terharu dengan kesungguhan Menteri Besar sendiri yang membaca doa.

Beliau yang diamanahkan menjadi exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam berkata; "Saya terharu mendengar bacaan doa beliau seolah-olah beliau menahan air mata, air mata untuk menjadi hamba rakyat'.

Sehubungan itu tambah beliau, kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor tidak mempunyai erti jika Allah tidak menyayangi dan mencintai hamba-Nya.

Pengarah program, Dr Osman Sabran menyatakan setelah 50 tahun Umno-BN memerintah barulah rakyat Selangor dapat menikmati hak mereka yang dinafikan oleh pimpinan kerajaan.

Beliau mengingatkan ahli dan pimpinan PAS, KeADILan dan DAP perlu sepakat dan bersatu hati menjaga harta benda yang selama ini dirampas oleh BN.

Program berikut dijangka pada 3 Mei di Stadium Melawati, antara penceramahnya Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu. - lanh /harakahdaily.net

Pandangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Tentang Kerajaan-Kerajaan Pembangkang Yang Baru Dibentuk

1) Rakyat patut memuji kepimpinan Kerajaan dan rakyat Kelantan. Mereka terkenal dengan kematangan politik. Walaupun media yang bongkak menghina mereka sebelum pilihanraya berlaku, namun mereka telah berjaya merentasi pilihanraya dengan jayanya –alhamdulillah-. Di kala negeri-negeri lain masih dalam kekalutan, Kelantan tenang dan damai dengan keputusan yang dibuat oleh rakyatnya. Mudah-mudahan itu sebagai tanda bahawa Islam yang dilaungkan di Kelantan benar-benar mendapat keberkatan Allah. Bumi Kelantan adalah antara benteng-bentang umat Islam di negara ini. Wajib kepada seluruh muslimin terus membantu hasrat Islam yang dilaungkan, selagi zahir padanya keikhlasan bukan bertujuan politik semata. Masih banyak ruang yang boleh dilakukan untuk mengangkat imej Islam di negeri berkenaan.

2) Kerajaan Baru Kedah adalah harapan umum agar prinsip-prinsip siasah Islam yang menekankan soal keadilan dan kemaslahatan rakyat dalam dasar dan perlaksanaan benar-benar dapat dihayati. Mereka perlu bernafas panjang dalam mengambil sesuatu tindakan agar kegopohan parti mereka di Trengganu dahulu tidak berulang. Kelihatannya YAB Menteri Besar Kedah yang baru, mampu menonjolkan ciri-ciri kematangan politik yang baik di peringkat awal ini. Pegangan ‘siasah untuk maslahah ummah’ amat penting agar tidak timbul sama sekali unsur politik membalas dendam. Kita berdoa agar prinsip-prinsip Islam yang damai, harmoni lagi adil dapat dikecapi oleh rakyat Kedah menerusi kerajaan mereka yang baru.

3) Kerajaan Baru Selangor sebenarnya berhadapan dengan situasi yang amat sengit. Ini kerana, Selangor adalah negeri maju, rakyatnya mungkin lebih sensitif dan kritis. Kedudukan Selangor yang terdedah kepada dunia yang lebih terbuka, menjadikannya kayu pengukur golongan cerdik pandai sejauh manakah slogan golongan pembaharuan politik ini dapat direalisasikan. Nampaknya tawaran-tawaran Kerajaan Baru Selangor mampu menzahirkan prinsip pemerintah mengutamakan rakyat seperti yang menjadi teras siasah dalam Islam. Kita amat berharap ketelusan dan kejujuran akan menjadikan mereka lebih unggul dibandingkan kerajaan sebelum ini.

4) Ada pun Perak, saya belum dapat melihat perkembangannya. Namun keperibadian yang baik YAB Menteri Besar yang baru mudah-mudahan mengundang pertolongan Allah untuk pentadbirannya.

Sekali lagi saya ingin sebut, seperti yang sering nyatakan dalam berbagai tulisan dan kenyataan saya, bahawa “laksanakanlah keadilan dan ketelusan, di situlah akan lahirnya cinta rakyat dan keberkatan Allah. Jangan ulangi segala bentuk penyelewengan dan kebongkakan yang pernah dilakukan oleh mereka yang lain sebelum ini, kerana pada bongkah, sombong dan tidak telus itu mengundang kebencian rakyat dan kemurkaan Allah”.