LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Showing posts with label dato' seri ir mohammad nizar. Show all posts
Showing posts with label dato' seri ir mohammad nizar. Show all posts

PENGALAMAN 6 JAM DI PEJABAT MB

YAB Dato'Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sempat duduk dimejanya yang kosong dengan dokumen sambil menulis satu memo. Inilah tempat MB halal yang kembali dirampas oleh MB haram.

Enam jam berada di Pejabat MB semalam sangat-sangat dirasai kehadiran kami oleh beberapa pegawai dan staf pejabat di bangunan SUK yang sempat ditemui, lebih-lebih lagi staf di pejabat MB. Kerinduan kepada MB, EXCO dan pegawai-pegawai MB jelas terbayang.

Pegawai-pegawai MB yang lain, Hj Anuar Hashim (Setiausaha Akhbar), Amran Harun, K.Y. Tiang, Ust. Zulkifli Ibrahim dan Nadarajan hadir sama di pejabat. Hj Wan Junaidi (Bekas Setiausaha Sulit Dato' Seri) juga turut hadir. Jelas terbayang keceriaan mereka.

Setelah berada kira-kira 15 minit di pejabat MB, Dato' Seri terpaksa meninggalkan majlis untuk ke Istana Iskandariyyah bagi menghadiri Majlis Anugerah Pingat dan Bintang bersama Tuanku Raja Muda Perak.

Sepeninggalan beliau, semua EXCO dan pegawai-pegawai MB berada di pejabat MB. pejabat EXCO masih berkunci tak boleh dikunjungi. Beberapa pegawai kanan kerajaan turut berada di pejabat MB, antaranya En. Shamsuzaman Sulaiamn (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, En. Asri Saad (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia), En. Abdullah Antong (yang digantung sebagai Setiausaha DUN oleh Speaker) juga hadir sama.

Tidak ada kerja-kerja pentadbiran yang kami buat, kami sekadar melihat-lihat dan bertanya khabar. Ramai juga yang datang mengucapkan tahniah, mereka terharu sehingga ada yang menitis air mata menyambut ketibaan kami. Mereka sangat merindui Dato' Seri untuk mengimami Solat Zohor berjamaah dan tazkirah. Saya juga diberitahu, kehadiran solat berjamaah di surau SUK sangat berkurangan berbanding dulu.

Saya juga sempat berbual dengan beberapa orang, mereka bercerita ketika berita di TV3 mengumumkan kemenangan Hj Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ramai pelanggan yang sedang makan tengahari sambil menonton berita di kantin pejabat bersorak menyambut gembira.

Saya sempat berbincang dengan beberapa pegawai dari pejabat SUK untuk melaksanakan beberapa arahan dari YAB MB. Jelas mereka tidak keberatan melaksanakannya malahan memberi kerjasama yang cukup baik.

Menjelang Zohor, kami mendapat mesej dan maklumat dari Kuala Lumpur oleh peguam Hj Nizar bahawa permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi diterima oleh Mahkamah Rayuan. Mendengar keputusan tersebut, pejabat MB menjadi sunyi dan hening buat seketika. Ketika itulah Dato' Seri tiba dari Istana.

Kami Solat Zohor berjamaah di surau dengan diimami oleh Dato' Seri Hj Nizar. Selepas solat, kami kembali ke pejabat untuk berbincang mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tadi. Setelah berbincang, semuanya sepakat bersetuju untuk keluar pejabat sebagai menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

Lebih kurang jam 2.30 petang, MB, EXCO dan seluruh pegawai-pegawainya meninggalkan pejabat dengan penuh hormat dan tenang. Kami bersalam-salaman semula dengan staf dan pegawai keselamatan. Polis masih ramai di sekitar Banguanan SUK. Kami mimum petang di Kedai Kopi berhampiran pejabat SUK, MB dikerumuni oleh para wartawan dan sidang akhbar terus diadakan di pejabat DAP yang berada di atas kedai kopi tersebut.

http://misabah.blogspot.com

KENYATAAN DATO' SERI HJ NIZAR

Syukur alhamdulilah kepada semua warga dan rayat Perak khususnya dan Malaysia amnya yang telah sabar dan mendoakan untuk kemenangan dan keselamatan seluruh Rakyat Perak. Selama 3 bulan kita dalam suasana krisis perlembagaan oleh kerana perbuatan rakus merampas hak rakyat negeri Perak pada 5 Feb. 2009 lalu.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah berkerjasama dan mendoakan kejayaan ini. Marilah kita bertenang, terus memuji kebesaran Allah SWT serta memohon kempunan dari Allah SWT.

Semua rakyat harus bertenang dan Pakatan Rakyat akan meneruskan khidmat kami membantu rakyat serta membela rakyat yang memerlukan banyak perhatian dan pertolongan dari kerajaan. Sesungguhnya kami akan meneruskan dasar serta janji demi kebaikan rakyat dan melaksanakan diatas prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Semua rakyat Perak beragama Islam mesti menunaikan solat sebagai tiang agama dan kembali kepada ajaran nabi Mohammad SAW. InsyaAllah kita akan banyakan lagi program kebaikan dan membenteras kemungkaran demi berhasrat menyelamatkan bangsa , negara dan agama oleh kerana gejala sosial seperti dadah, rokok, ragut, rempit, zinah , mabuk , tak sembahyang, jahil dan lain-lain.

Maka marilah semua kaum dan rakyat Perak kita ikut dan patuh kepada perlembagaan dan undang-undang tubuh serta mengikut Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara supaya dapat kita bangunkan balik tamaddun Islam yang telah lama tidak di beri perhatian wajar.

Sebagai Ahli Parlimen P059 Bukit Gantang pula saya ajak seluruh warga parlimen tersebut mengemukakan segala masaalah mereka melalui pusat khidmat masyarakat yang telah saya dirikan di DUN Cgkt Jering, Kuala Sepetang dan dua pejabat di Trong.

Kapada semua kakitangan Kerajaan disemua peringkat, marilah kita laksanakan khidmat kepada rakyat dengan menganggap semua titik peluh kita sebagai amalan membantu rakyat agar mereka tidak menuntut hak mereka di hadapan Allah SWT diakhirat kelak. Marilah kita ambil kesempatan memberi sumbangan kepada rakyat yang cukup terhimpit akibat krisi ekonomi global kini.

Kepada semua media ,marilah kita bebaskan diri kita dari belenggu fitnah dan sindrom enggan melapurkan yang benar. Kepada semua bloggers dan media kerajaan, saya pohon keampunan atas kesilapan dan ketelanjuran saya. Saya turut memaafkan serta mengampunkan kesilapan kalian.

Kepada semua pegawai dan penjawat awam , jangan lagi menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya buat kerja dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Kepada RTM FM Perak, berlaku adilah kepada saya dan Pakatan Rakyat untuk suara saya didengari oleh rakyat Perak kerana saya cuma mahu mengajak kaum saya bersolat dan berilmu. Saya bertemu dengan Menteri Penerangan ketika itu, Dato' Shabery Chik dan merayu berilah saya setengah jam seminggu untuk mengajak orang Melayu supaya patuh pada Allah dan jangan lalai. Hendaklah serious beragama. Maka berilah ini kepada saya. Namun tiada layanan darinya dan warga Perak FM di Ipoh. Tolonglah kami kerana kami difitnah dan danayai. Belalah Islam!.

Kepada semua warga tani, peladang, penternak dan nelayan, saya sayang kepada kalian semua dan akan membantu melegakan kehidupan yang terik sekarang.

Kepada semua ketua JKKK yang telah diberi surat watikah oleh saya sebagai MB tempoh hari, teruskan usaha baik tuan tuan kerana saudara dipilih oleh rakyat. Ini telah diperkenan oleh kebawah duli yang teramat mulia Raja Muda semasa saya mengesyurkan usaha memilih ketua JKKK. RM cukup gemar dan berkenan dengan tindakan ini.
Saya kembali dengan hasrat memberikan hak kepada rakyat Perak pilih kerajaan yang kuat dan wibawa. Saya akan cuba sedaya upaya memohon perkenan Kebawah DYMM untuk bubarkan DUN Perak dan adakan pilihanraya seluruh negeri kita.
HIDUP RAKYAT.
ALLAHU AKBAR

YAB DATO' SERI IR HJ MOHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN
MENTERI BESAR PERAK DARUL RIDZUAN

Kemenangan Nizar, Keputusan Mesyuarat Exco Malam Tadi

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim dan Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Jamalludin Al Amini Ahmad berkuat kuasa serta merta.

Tugas mereka itu akan dipangku oleh timbalan masing-masing.

Itu adalah beberapa keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco pimpinan beliau di ibu pejabat PAS negeri, tengah malam tadi.

Petang semalam, Mohammad Nizar turut menggantung tugas Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkuat kuasa serta merta sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada pagi esok, Mohammad Nizar berkata, beliau akan mempersembahkan permohonan untuk menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah Sultan Azlan Shah.

"Bukan menghadap, kami hanya mengemukakan permohonann untuk menghadap," katanya pada sidang media yang diadakan kira-kira pukul 12.30 malam tadi.

Mohammad Nizar berkata, beliau dan kesemua Exconya akan memulakan tugas seperti biasa pada pukul 7.15 pagi ini.

Beliau juga berkata, mesyuarat tersebut memutuskan untuk meneruskan dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) selama tiga bulan yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.

Selain itu katanya, V Sivakumar masih merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sah.

Katanya, Datuk R Ganesan yang dilantik oleh BN sebagai Speaker DUN adalah tidah sah kerana masih belum mengangkat sumpah.

Sehubungan itu kata beliau, apa juga kemungkinan sidang DUN tergempar yang akan dibawa BN pada pagi ini adalah tidak sah.

"Untuk mengadakannya, mereka mesti memberi notis," katanya.

Petang tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Dengan keputusan itu, persoalan mengenai siapakah Menteri Besar yang sah - antara Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menyebabkan negeri itu dilanda krisis politik sejak Februari lalu akhirnya terjawab.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.
sumber:http://greenboc.blogspot.com

Saman Zambry-Nizar balik ke Mahkamah Tinggi


Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengenai siapa menteri besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara memutuskan wujud pertikaian fakta dalam dua afidavit yang diikrarkan oleh Mohd Nizar dan Penasihat Undang-undangan Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Prosiding untuk meneliti afidavit Ahmad Kamal akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada hari Isnin. Ini merupakan kali kedua kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi..

http://www.tvantara.com/v1

Kali pertama ialah pada 23 Mac apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan isu membabitkan tafsiran Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi dan hanya boleh dirujuk semula ke Mahkamah Persekutuan melalui rayuan.

Alauddin, Hakim Besar Malaya Datuk Ariffin Zakaria dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusuf dan Datuk James Foong hari ini dijadual mendengar permohonan Zambry, yang difailkan pada 21 April, untuk memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar yang sah.

Peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah membantah permohonan Zambry atas alasan wujud pertikaian fakta berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual didengar di Mahkamah Tinggi minggu depan.

Katanya percanggahan itu adalah antara apa yang diikrarkan oleh Ahmad Kamal dalam afidavitnya dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan antara Mohd Nizar dan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 4 Februari 2009.

"Saya menegaskan bahawa semasa saya menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan, saya tidak pernah menyatakan dan tidak memaklumkan, dan tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan bahawa terdapatnya kehilangan kepercayaan terhadap saya sebagai Menteri Besar oleh majoriti ahli-ahli DUN. Saya juga tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri selaras dengan Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

"Merujuk kepada afidavit penasihat undang-undang, saya menyatakan bahawa versi Datuk Ahmad Kamal berkenaan apa yang telah berlaku adalah salah dan tidak tepat," kata Sulaiman ketika membacakan afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar.

Beliau juga berhujah Ahmad Kamal telah mewakili Zambry apabila kes itu disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof pada 18 Februari.

"Datuk Kamal telah mewakili Zambry dan ini jelas menunjukkan yang beliau tidak bersikap berkecuali," kata Sulaiman.

Katanya atas prinsip "res judicata" (perkara yang sudah diputuskan), permohonan itu tidak sepatutnya didengar oleh Mahkamah Persekutuan kerana permohonan yang sama terhadap isu yang sama telah ditentukan oleh mahkamah yang sama pada 23 Mac.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry dalam hujahan balasnya berkata terdapat keterangan dokumen berdasarkan dua pucuk surat yang ditulis oleh Mohd Nizar kepada Sultan Perak pada 4 dan 5 Februari untuk menunjukkan tidak terdapat pertikaian fakta seperti dakwaan responden.

Beliau juga berkata prinsip 'res judicata' tidak boleh diguna pakai kerana isu Perkara 63 tidak timbul pada perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Mac.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah, peguam Mohd Reza Hassan selaku peguam pemerhati bagi Barisan Nasional dan Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Perak Zulqarnain Hassan.

Di luar mahkamah, Mohd Nizar berkata kepada pemberita bahawa keputusan hari ini adalah petanda yang krisis politik Perak akan dapat mencapai penyelesaian muktamad.

"Saya harap persidangan Dewan Undangan Negeri 7 Mei ini ditangguhkan sehingga pertikaian ini diselesaikan di Mahkamah Tinggi. Tidak perlulah kita tergesa-gesa (untuk membuat persidangan itu) kerana terdapat banyak fakta-fakta yang dipertikaikan di sini," katanya.

MAJLIS KESYUKURAN DAN BERTEMU PENGUNDI

Alhamdulillah selepas diberi kemenangan oleh Allah SWT, di Bkt Gantang pada 7 Apr baru ini, banyaklah majlis dan program kesyukuran dan doa selamat yang di buat disetiap UPU di ketiga2 DUN Trong, Cgkt Jering dan Kl Sepetang.

Terpaksa jugalah hadir bagi meraikan pengundi yang berhajat sangat termasuk yang bernazar seperti berpuasa, cukur kepala, sembelihan dll. Apa yang luar biasanya ialah kesemua majlis tersebut dihadiri setiap lapisan rakyat India, Cina dan tentunya Melayu dari semua partipun ada termasuk BN. seterusnya.............

Bukit Gantang Kini Kubu Kuat Pakatan Rakyat

Kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang Selasa lalu melambangkan perubahan minda rakyat yang mahukan landasan politik baru dalam kancah senario politik Malaysia yang merentasi fahaman agama, budaya dan kaum.

Peningkatan undi majoriti yang diperolehi Pakatan Rakyat juga memperlihatkan penolakan rakyat terhadap amalan dan percaturan politik kerangka lama yang di bawa oleh Umno dan Barisan Nasional yang berteraskan kepada politik ugutan, perkauman.

Dalam sidang media yang diadakan di Markas Pas Air Kuning, Taiping pagi tadi, Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Perak, Asmuni Awi berkata kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah hasil sokongan padu semua lapisan masyarakat di Bukit Gantang dengan peningkatan undi kepada Pakatan Rakyat.

"Secara keseluruhannya Pakatan Rakyat berpaus hati di atas prestasi kami yang memuaskan di Bukit Gantang. Dakwaan bahawa jumlah pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat juga dapat ditangkis melihat kepada peratusan yang diperolehi sebanyak 43 peratus pada PRK ini berbanding 40 peratus semasa pilihan raya umum lalu," Asmuni berkata.

Pada sidang media harian yang terakhir beliau juga memberi statistik berhubung PRK P059 yang baru berlangsung.

Menurut Asmuni peningkatan jumlah pengundi yang keluar mengundi juga membantu kemenangan Pakatan Rakyat daripada 72.6 peratus pada PRU 2008 kepada 75 peratus pada PRK Bukit Gantang, masing-masing 40,301 dan 41,626.

Peratusan sokongan undi kaum Cina juga meningkat daripada 65 peratus kepada 75 peratus sementara undi kaum India tidak banyak berubah sekitar 62 peratus.

"Pakatan Rakyat mendapat undi padu daripada pengundi Cina di Bukit Gantang kerana mereka sekarang faham Pas bukanlah parti seperti mana yang digembar-gemburkan oleh Umno dan BN bahawa sekiranya mereka menyokong Pas mereka akan dikenakan hukum hudud, tidak boleh makan babi, tidak boleh minum arak dan sebagainya.
"Kini orang Cina faham Pas dan Pakatan Rakyat sebenarnya menghormati budaya dan budaya kaum Cina malah melindungi hak dan kepentingan mereka.
"Ini mereka dapat melihat perlaksanaan dasar Pakatan Rakyat selama 11 bulan ia memerintah Perak dan juga di negeri Kedah dan Selangor," jelas Asmuni lagi.

Jumlah pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat juga meningkat berbanding luar bandar disebabkan faktor akses kepada maklumat.

Dari segi undi menurut pecahan dewan undangan negeri, Pakatan Rakyat menang lima daripada 13 peti undi di Kuala Sepetang dengan peningkatan 1,000 undi daripada 7,490 kepada 8,496 sementara BN juga menunjukkan sedikit peningkatan daripada 6,193 kepada 6,259.

Pakatan Rakyat kalah di lapan daripada 11 peti undi di Changkat Jering, penurunan satu peti undi berbanding PRU 12.

Di DUN Trong pula Pakatan Rakyat menang di 6 peti undi, merosot satu peti undi berbanding PRU 12 tetapi jumlah undi yang diperolehi naik sedikit daripada 3.301 kepada 3,367 sementara BN mendapat 4,124 berbanding dulunya 4.021.

Antara peti undi dimenangi Pakatan Rakyat di Trong termasuk Pekan Trong, Trong Barat, Air Terjun, Sg Rotan dan Kuala Trong manakala di Pulau Pasir Hitam Pakatan Rakyat dan BN seri.

Peratusan saluran 4 dan 5 yang mewakili pengundi muda menunjukkan peningkatan bagi Pakatan Rakyat di kebanyakan peti undi menandakan golongan muda mahukan perubahan kepada sistem politik yang di amalkan Umno dan BN selama ini.

"Dalam pilihan raya kecil ini kita lihat semua isu seperti derhaka, tanah kepada masyarakat Cina miskin berjaya kita cairkan sehingga isu-isu ini sudah tidak lagi relevan.
"Dua atau tiga hari sebelum hari mengundi umno dan BN menukar taktik dan menyerang peribadi Datuk Seri Nizar dengan sementara kami tidak pernah menyerang sekali pun peribadi calon BN.
"Kami hanya menumpukan kepada penerangan isu-isu melalui ceramah, risalah dan sebagainya.
"Tidak pernah saya melihat sepanjang saya menjadi pengarah operasi pilihan raya Perak Umno dan BN terlalu terdesak sehingga jelek dan jijik sekali taktik mereka seperti yang mereka lakukan di Bukit Gantang.
"Ini menunjukkan Umno dan BN amat terdesak dan tertekan, mereka tidak akan berubah jadi mereka akan rebah selepas ini," kata Asmuni.

Beliau juga berkata pihak Pas bersama-sama Pakatan Rakyat akan mengambil langkag konkrit untuk terus memberi penerangan kepada rakyat Bukit Gantang mengenai fitnah yang dilemparkan oleh Umno dan BN terutamanya di semua kawasan.

"Sejak merdeka lagi Bukit Gantang menjadi kubu kuat Umno tetapi selepas ini ia akan menjadi kubu kuat Pakatan Rakyat pula.
"kami akan kuatkan jentera dan sekretariat bagi membantu Datuk Seri Nizar dan akan berusaha sedaya upaya kami untuk memenuhi segala keperluan rakyat Bukit Gantang dan memberi khidmat sebaik mungkin tidak kira siapa," ujar beliau.

Asmuni berkata kini rakyat Bukit Gantang telah menghantar isyarat supaya dewan undangan negeri Perak dibubarkan segera agar rakyat dapat memilih kerajaan pilihan mereka.

dari: http://www.tvantara.com

Hubungan Istana Perak dan MB baik, media cuba polemikkan


Azamin Amin
Tue | May 06, 08 | 12:25:07 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sekali lagi diuji dengan 'asakan' dan 'cabaran' pihak tertentu yang dilihat cuba menghebahkan kepada rakyat.

Kini kerajaan pakatan sengaja dipertontonkan kepada rakyat seolah-olah wujud ketegangan antara pihak Istana dengan Menteri Besar Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Walhal isu itu berkaitan formaliti dan prosedur yang sepatutnya dipatuhi oleh Nizar dalam perkara membabitkan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Dato' Jamry Sury.

Mengulas lanjut hal itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Asmuni Awi berkata isu 'kesilapan' teknikal itu cuba diperbesar-besarkan dan dipolemikkan oleh sesetengah media milik kerajaan yang mahu mempamerkan seolah-olah Nizar membelakangi kuasa Istana.

Sedangkan pertukaran Jamry telah dimaklumkan Menteri Besar Perak kepada Sultan Perak sewaktu perasmian Mahkamah Syariah Ipoh pada 30 Mac lalu.

"Cuma Tuanku minta rujuk kepada Yang Dipertua Majlis Agama Perak iaitu Raja Muda Raja Nazrin Shah.

"Dan Raja Muda menegur Nizar dari sudut formaliti dan perlu mengikut prosedur yang betul. Itu sahaja dan hubungan Istana amat baik sama ada dari segi tugasan mahupun peribadi tidak menghadapi sebarang masalah seperti yang cuba digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak," katanya yang juga seorang peguam.

Beliau turut mendakwa bahawa pertukaran Jamry iaitu merupakan proses pertukaran biasa yang dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan negeri kepada para pegawainya.

Ianya tidak melibatkan soal turun pangkat mahupun pemecatan daripada jawatan, katanya.

"Pada awal penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak memang berlaku beberapa pegawai yang enggan bekerjasama dengan Menteri Besar malah mahu meletakkan jawatan ataupun ditukar ke tempat lain.

"Justeru kerajaan negeri telah mengambil langkah terbaik menangani masalah-masalah individu yang tidak mahu memberikan komitmen kepada kerajaan yang baru," katanya.

Berhubung dengan kenyataan ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, beliau sekadar menyatakan bahawa itu merupakan hak beliau untuk memberi pendapat dan enggan mengulas lanjut.

"Kita tidak mahu melatah setiap isu yang dimainkan oleh pihak media atau pihak-pihak tertentu kerana ianya akan mensensasi perkara yang tidak pun seperti yang digambarkan," katanya yang juga merupakan AJK PAS Pusat./wann