LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Showing posts with label kedah. Show all posts
Showing posts with label kedah. Show all posts

Stadium Melawati bergema laungan takbir, reformasi, Makkal Shakti



Oleh Saidah Hairan
Foto Wan Zahari Wan Salleh

Jika selama ini Stadium Melawati bergema dengan tepukan dan sorakan penyokong pelbagai jenis sukan, tetapi malam 31 Mac terukir dalam sejarah, stadium tersebut bergema laungan 'Allah Hu Akbar', 'Reformasi' dan 'Makkal Shakti'.

Laungan suara rakyat menandakan berakhirnya penyeksaan selama mereka khususnya rakyat Selangor berada di bawah pemerintahan BN-Umno.

Lebih 25,000 rakyat membanjiri stadium yang hanya menyediakan 15,000 kerusi. Stadium yang selama ini dijadikan tempat bermain badminton telah bertukar wajah.


Dari wajah bersorak tanpa mengenal batas pergaulan, muslimin dan muslimat bersatu hati rukuk dan sujud menunaikan solat Isyak dan Hajat yang dipimpin oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Lagu Negaraku dan Bersatulah (lagu PAS) turut dinyanyikan dengan penuh semangat oleh lebih 25,000 hadirin. Kelihatan bendera PAS, KeADILan dan DAP berkibar di segenap penjuru. Sungguh menakjubkan.

Wajah-wajah yang hadir dalam program Himpunan Rakyat kelihatan ceria. Lebih 20 bas persiaran, kilang dan sekolah berada di tempat letak kenderaan bersebelahan stadium. Image

Bukan hanya rakyat Selangor bahkan Kelantan; Pahang; Negeri Sembilan; Johor; Wilayah Persekutuan dan Terengganu turut hadir dalam program tersebut. Mereka mahu bersama meraikan kemenangan Selangor walaupun di bawah Pakatan Rakyat.

Turut hadir dalam program gilang gemilang itu antaranya, To' Puan Zainab Awang (isteri Presiden); Ketua Muslimat Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan; ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali; ahli Parlimen dan Adun PAS Selangor.

Semua pimpinan yang berceramah sepakat mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Selangor yang memilih PAS, KeADILan dan DAP dalam pilihan raya, 8 Mac lalu. Tuan Guru Abdul Hadi dalam ceramahnya mencadangkan agar satu gagasan pakatan politik baru ditubuhkan bagi mendepani cabaran politik baru di Malaysia.

Katanya, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada gabungan PAS, KeADILan dan DAP yang diberikan mandat besar wajar menghulurkan tangan kepada rakan-rakan dalam BN khasnya wakil-wakil rakyat Umno, MCA, MIC dan Gerakan. Image

Menurut beliau, ia perlu dilakukan supaya bersama-sama menyertai gagasan politik baru bagi membina negara yang lebih selamat, sejahtera dan makmur.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang berkata, ternyata hasil gelombang kebangkitan rakyat dalam pilihan raya lalu, BN semakin dipinggirkan dan tidak relevan dalam arus politik negara.

Katanya, gagasan pakatan itu perlu menyemak semula dengan meminda atau menghapuskan mana-mana undang-undang dan peraturan yang zalim dan mendiskriminasi terutamanya ISA, Auku, OSA dan sebagainya.

Beliau berharap gagasan itu perlu segera melakukan reformasi terhadap amalan demokrasi dalam negara dengan memulihkan proses pilihan raya sebagaimana yang dituntut rakyat dan badan-badan bukan kerajaan khususnya yang melibatkan bidang tugas dan operasi SPR.

Presiden PAS turut menekankan supya Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi kebebasan sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang efektif dan tidak mengamalkan pendakwaan terpilih. Image

Katanya, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan ianya benar-benar bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau kuasa politik juga perlu dikembalikan.

Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim turut menyentuh jiwa rakyat Selangor apabila beliau memulakan ucapan dengan menyanjung pengorbanan rakyat untuk menyokongnya.

"Kalau tidak ada tuan-tuan, saya tidak ada di sini, jadi saya terhutang budi, budi ini sangat besar, saya dan rakan-rakan akan balas, insya-Allah," luah beliau pada awal ucapan.

Beliau yang berbaju Melayu kuning itu melahirkan ketakutan dengan kepercayaan Presiden PAS yang menyokongnya menjadi Menteri Besar Selangor.

Di hadapan puluhan ribu rakyat beliau berjanji akan memansuhkan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), akta percetakan dan penerbitan. Image

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyatakan kemenangan rakyat Selangor membuktikan bahawa suara rakyat negeri termaju itu telah dapat disatukan.

Katanya, tiga parti yang berbeza fahaman dan agama PAS, KeADILan dan DAP dapat bersatu dan bekerjasama untuk menjamin keadilan rakyat.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bachok berkata, setelah 50 tahun merdeka dan 12 kali rakyat menghadapi pilihan raya baru kali ini rakyat berani membuktikan kebenaran.

"Orang sudah tidak guna dacing saya yakin dalam pilihan raya ke-13 keris dan dacing akan dicampak oleh rakyat," katanya sambil disambut sorakan dan laungan takbir.

Menurut beliau, bukan sahaja rakyat tidak percaya dengan Umno bahkan pimpinan mereka sendiri turut tidak mempercayai kredibiliti pimpinan parti itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali turut memperkenalkan ahli Parlimen, Adun serta exco PAS. Dalam ceramah itu beliau berjanji semua wakil rakyat akan berusaha melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab secara adil dengan menghapuskan segala kezaliman yang menjadi amalan pimpinan BN-Umno.

"Kita akan pastikan tiada seorang pun rakyat Selangor sama ada kaum India dan Cina yang diketepikan haknya," katanya.

Dalam mesyuarat pertama exco di pejabat SUK beliau rasa terharu dengan kesungguhan Menteri Besar sendiri yang membaca doa.

Beliau yang diamanahkan menjadi exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam berkata; "Saya terharu mendengar bacaan doa beliau seolah-olah beliau menahan air mata, air mata untuk menjadi hamba rakyat'.

Sehubungan itu tambah beliau, kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor tidak mempunyai erti jika Allah tidak menyayangi dan mencintai hamba-Nya.

Pengarah program, Dr Osman Sabran menyatakan setelah 50 tahun Umno-BN memerintah barulah rakyat Selangor dapat menikmati hak mereka yang dinafikan oleh pimpinan kerajaan.

Beliau mengingatkan ahli dan pimpinan PAS, KeADILan dan DAP perlu sepakat dan bersatu hati menjaga harta benda yang selama ini dirampas oleh BN.

Program berikut dijangka pada 3 Mei di Stadium Melawati, antara penceramahnya Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu. - lanh /harakahdaily.net

Pandangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Tentang Kerajaan-Kerajaan Pembangkang Yang Baru Dibentuk

1) Rakyat patut memuji kepimpinan Kerajaan dan rakyat Kelantan. Mereka terkenal dengan kematangan politik. Walaupun media yang bongkak menghina mereka sebelum pilihanraya berlaku, namun mereka telah berjaya merentasi pilihanraya dengan jayanya –alhamdulillah-. Di kala negeri-negeri lain masih dalam kekalutan, Kelantan tenang dan damai dengan keputusan yang dibuat oleh rakyatnya. Mudah-mudahan itu sebagai tanda bahawa Islam yang dilaungkan di Kelantan benar-benar mendapat keberkatan Allah. Bumi Kelantan adalah antara benteng-bentang umat Islam di negara ini. Wajib kepada seluruh muslimin terus membantu hasrat Islam yang dilaungkan, selagi zahir padanya keikhlasan bukan bertujuan politik semata. Masih banyak ruang yang boleh dilakukan untuk mengangkat imej Islam di negeri berkenaan.

2) Kerajaan Baru Kedah adalah harapan umum agar prinsip-prinsip siasah Islam yang menekankan soal keadilan dan kemaslahatan rakyat dalam dasar dan perlaksanaan benar-benar dapat dihayati. Mereka perlu bernafas panjang dalam mengambil sesuatu tindakan agar kegopohan parti mereka di Trengganu dahulu tidak berulang. Kelihatannya YAB Menteri Besar Kedah yang baru, mampu menonjolkan ciri-ciri kematangan politik yang baik di peringkat awal ini. Pegangan ‘siasah untuk maslahah ummah’ amat penting agar tidak timbul sama sekali unsur politik membalas dendam. Kita berdoa agar prinsip-prinsip Islam yang damai, harmoni lagi adil dapat dikecapi oleh rakyat Kedah menerusi kerajaan mereka yang baru.

3) Kerajaan Baru Selangor sebenarnya berhadapan dengan situasi yang amat sengit. Ini kerana, Selangor adalah negeri maju, rakyatnya mungkin lebih sensitif dan kritis. Kedudukan Selangor yang terdedah kepada dunia yang lebih terbuka, menjadikannya kayu pengukur golongan cerdik pandai sejauh manakah slogan golongan pembaharuan politik ini dapat direalisasikan. Nampaknya tawaran-tawaran Kerajaan Baru Selangor mampu menzahirkan prinsip pemerintah mengutamakan rakyat seperti yang menjadi teras siasah dalam Islam. Kita amat berharap ketelusan dan kejujuran akan menjadikan mereka lebih unggul dibandingkan kerajaan sebelum ini.

4) Ada pun Perak, saya belum dapat melihat perkembangannya. Namun keperibadian yang baik YAB Menteri Besar yang baru mudah-mudahan mengundang pertolongan Allah untuk pentadbirannya.

Sekali lagi saya ingin sebut, seperti yang sering nyatakan dalam berbagai tulisan dan kenyataan saya, bahawa “laksanakanlah keadilan dan ketelusan, di situlah akan lahirnya cinta rakyat dan keberkatan Allah. Jangan ulangi segala bentuk penyelewengan dan kebongkakan yang pernah dilakukan oleh mereka yang lain sebelum ini, kerana pada bongkah, sombong dan tidak telus itu mengundang kebencian rakyat dan kemurkaan Allah”.

Umno perlukan pemimpin secocok suasana baru

Oleh A Kadir Jasin

7.55am | 28 Mac
[KEMASKINI 28 Mac] MAJLIS Tertinggi Umno yang bersidang semalam memutuskan yang pilihan raya parti peringkat pusat akan diadakan pada perhimpunan agung tahunan antara 19 dan 20 Disember ini. Pemilihan peringkat cawangan akan berlangsung antara 17 Julai dan 24 Ogos manakala bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November.

Sementara itu, ibarat tertimpa ludah sendiri, presiden parti, Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa mesyuarat itu menyokong pelantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terenggunu yang sebelum ini dianggapnya sebagai “bertentangan dengan Perlembagaan.”

Anehnya, Bernama pula melaporkan yang setiausaha agung Umno yang baru, Teuku Adnan Teuku Mansor sebagai memberi amaran kepada Ahmad Said yang dia akan dipecat jika mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Pening, putar belit (spin) tetap putar belit walaupun sedikit!

[Tulisan awal]

URA-URA menangguhkan pemilihan Umno Ogos ini sehingga tahun hadapan kononnya atas desakan ketua-ketua bahagian dan perhubungan negeri cukup menarik.

Pertama ia menunjukkan yang sindrom menidakkan (denial syndrome) masih menular dalam jiwa sesetengah para pembesar Umno walaupun pengundi telah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas mereka pada 8 Mac lalu.

Kedua ia menunjukkan betapa mudahnya pihak-pihak tertentu dalam Umno memperkotak-katikkan pendapat umum demi menjaga kepentingan peribadi mereka.

Ketiga kepentingan segelintir peneraju mengatasi kepentingan jutaan ahli Umno.

Dan keempat mereka tidak teragak-agak memperolok-olokkan sentimen ahli akar umbi parti.

Semua ini adalah perbuatan dan tindak tanduk yang sangat berbahaya kepada kelangsungan – survival — Umno.

Alhamdulillah, tidak semua pembesar Umno hilang akal dan tenggelam punca.

Laporan SMS akhbar The Star pagi ini (27 Mac) memetik Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yassin, sebagai berkata Jawatankuasa Pengurusan Umno sebulat suara bersetuju pemilihan parti tidak ditangguhkan.

Soalnya apakah jaminan yang keputusan itu tidak akan dipertikai dan dibatalkan oleh pihak-pihak yang lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Pengurusan?

Ini mendalamkan lagi misteri dakwaan bahawa ketua-ketua bahagian dan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri mahu pemilihan ditangguhkan.

Nampaknya pihak-pihak yang menghebahkan ura-ura itu mahu menguji sentimen ahli dan pembesar parti. Daripada reaksi awal, nyata cadangan itu berpotensi memecahbelahkan lagi Umno.

Ketua Penerangan Umno, Mohamad Muhd Taib berkata ketua-ketua bahagian dan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri Umno mahu pemilihan parti ditangguhkan.

Tetapi beberapa ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri menafikannya. Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan, misalnya, menolak ura-ura itu.

Ini menimbulkan tanda tanya mengenai kemungkinan ada pihak yang tidak demokratik dan takutkan cabaran cuba menggunakan nama ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri untuk menangguhkan pemilihan parti.

Apa pun yang hendak dilakukan oleh para pembesar Umno yang berasa mereka masih berkuasa dan masih dikehendaki, mereka tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ahli parti tidak boleh diperkotak-katikkan lagi.

Mereka telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka pada 8 Mac lalu dengan menghukum Umno di bawah kepemimpinan sekarang!

Jika para pembesar Umno masih enggan atau tidak berkeupayaan menghadapi realiti, usaha merawat parti – meminjam slogan Barisan Nasional “merawat Kelantan” — dan memujuk hati orang Melayu akan tertangguh.

Lagi lama tertangguh lagi sukar merawat Umno yang sedang gering dan hati orang Melayu yang luka.

Jika pemilihan ditangguhkan ia sudah tentu memburukkan lagi kemarahan orang Melayu, khasnya ahli dan penyokong Umno, terhadap pembesar-pembesar parti.

Ini berkemungkinan menyebabkan ahli dan penyokong Umno yang berpaling tadah pada 8 Mac lalu tidak kembali lagi ke pangkuan parti.

Apatah lagi dalam keadaan di mana pada pandangan mereka kerajaan pembangkang tidak mengecewakan aspirasi mereka apabila mereka dengan segala berat hati dan dukacita memangkah PAS, PKR dan DAP.

Malangnya bagi Umno, itulah tanggapan orang Melayu kini. Malah mereka terkejut bahawa kerajaan-kerajaan negeri pembangkang dapat ditubuhkan dengan begitu pantas dan tanpa krisis besar berbanding kerajaan-kerajaan negeri Umno sendiri.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu yang melagakan kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi dengan pihak Istana memburukkan imej kepemimpinan Umno.

Serentak itu ia menyerlahkan lagi sikap hipokrit media massa arus perdana yang menjadi tulang belakang propaganda pemerintah. Padahnya kerana taasub mereka jatuh tersungkur dan misai mencecah debu apabila cuba menggembar-gemburkan masalah pelantikan MB Perak dan menuduh pembangkang, khasnya Lim Kit Siang, biadab terhadap Raja.

Ini terjadi apabila Umno sendiri ternyata lebih teruk ketika menangani krisis di Perlis dan Terengganu dan menunjukkan sikap yang lebih buruk terhadap Raja daripada DAP.

Walaupun media massa arus perdana tidak menuduh Umno “kurang ajar”, “biadab” atau “derhaka” namun rakyat jelata tidaklah terlalu bodoh untuk membuat kesimpulan mengenai tindak tanduk pembesar-pembesar tertentu.

Menangani perhubungan yang unik dan sensitif dengan Istana adalah tugas dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh Umno sejak penubuhannya pada tahun 1946.

Sama ada dalam suasana aman atau konfrontasi, Umno dan pemimpinnya sebelum ini tidak pernah menunjukkan derhaka, biadab dan kurang ajar kepada Raja.

Penolakan Shahidan Kassim di Perlis dan Idris Jusoh di Terengganu walaupun membawa surat tauliah daripada Perdana Menteri adalah bukti kegagalan kepemimpinan tertinggi Umno meneruskan tradisi berbaik-baik dengan Raja berperlembagaan.

Apatah lagi Presiden Umno sendiri begitu beria-ia mempertahankan dua watak berkenaan tetapi akhirnya terpaksa akur dengan pelantikan Mat Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis dan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Pada perhimpunan dan pemilihan Ogos ini, Umno memerlukan pemikiran dan kepemimpinan yang lebih secocok dengan suasana baru yang ditonjolkan oleh keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu. Umno memerlukan perubahan di semua peringkat untuk merawat kegeringannya.

Dialog Profesional Anak kedah Berjalan Lancar

Oleh KedahLaNie

Kuala Lumpur..17 Mac-Dialog Profesional Anak Kedah yang dipengerusikan oleh YB Ir Haji Amiruddin Hamzah, Pengerusi Jawatankusa Pertanian, Industri, Pelaburan, Sains dan Inovasi yang berlangsung pada 16 Mac 2008 di bilik Embassy 2, Holiday Villa Apartmen, Jalan Ampang telah berjaya mencapai beberapa rumusan penting.

Majlis dan sesi brain-storming yang menemukan tenaga profesional, golongan pelabur dan usahawan yang kesemuanya terdiri dari anak-anak Kedah yang telah menempa nama di Lembah Klang telah bersetuju untuk melaksanakan perkaar-perkara berikut :

i) Menyumbang kepakaran, tenaga dan pengalaman bagi memajukan sektor ekonomi yang pelbagai

ii) Bekerjasama erat dengan pelabur luar khususnya yang sudah dikenalpasti untuk diajak melabur di Kedah

iii) Menubuhkan Majlis Permuafakatan Anak Kedah Lembah klang(MAPAN) sebagai forum dan medium untuk memberikan idea kepada pentadbiran dan kerajaan Negeri.

iv) Meneroka peluang niaga, pelaburan, industri dan pertanian untuk manfaat dan kemajuan ekonomi rakyat Kedah seluruhnya.

v) Menubuhkan Perbadanan Pertanian Kedah Bhd bagi mencapai matlamat menjadikan Kedah 'Belanda Malaysia'.

Dalam ucapan bersungguh YB Ir Haji Amiruddin beliau menegaskan dasar dan keutamaan negeri adalah untuk menghasilkan pulangan ekonomi terbanyak dan dipulangkan kembali demi untuk kesejahteraan rakyat. Pendekatan kerajaan negeri juga lebih bersifat 'business friendly' pemudah cara, menyelaras dan membantu usaha pihak pelabur untuk berurusniaga tanpa dikenakan kos tambahan seperti suapan, rasuah dan kos yang tidak wajar. Salam seorang pelabur yang ditemui selepas sesi dialog Cik Lynn Aziz dari HRR Resources Bhd, menegaskan 'syarikat kami berminat untuk memasarkan hasil produk makanan tradisi Kedah seperti pekasam, karas yang kini mendapat tempahan dan berpotensi di rantau Timur Tengah".

Bagi Encik Shukri Ishak pula yang terlibat dalam industri penerbangan, pendekatan kerajaan negeri yang mesra pelabur meyakinkan beliau untuk mengajak rakan konsi beliau bagi melabur dalam industri pembuatan pesawat komersial ringan. 'Tapak lokasi sudah dikenalpasti dan pihak kami hanya memerlukan tanah kerajaan seluas 12 ekar bagi dibina landasan untuk meguji pesawat yang disiapkan". Menurut beliau lagi kertas cadangan bagi projek ini akan diserahkan secepat mungkin bagi tujuan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
Posted by KedahLaNie


--
KedahLanie@gmail.com
Http://KedahLanie.blogspot.com
Note: Admin mengalukan sumber berita semasa dari negeri KEDAH...