LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Umno perlukan pemimpin secocok suasana baru

Oleh A Kadir Jasin

7.55am | 28 Mac
[KEMASKINI 28 Mac] MAJLIS Tertinggi Umno yang bersidang semalam memutuskan yang pilihan raya parti peringkat pusat akan diadakan pada perhimpunan agung tahunan antara 19 dan 20 Disember ini. Pemilihan peringkat cawangan akan berlangsung antara 17 Julai dan 24 Ogos manakala bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November.

Sementara itu, ibarat tertimpa ludah sendiri, presiden parti, Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa mesyuarat itu menyokong pelantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terenggunu yang sebelum ini dianggapnya sebagai “bertentangan dengan Perlembagaan.”

Anehnya, Bernama pula melaporkan yang setiausaha agung Umno yang baru, Teuku Adnan Teuku Mansor sebagai memberi amaran kepada Ahmad Said yang dia akan dipecat jika mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Pening, putar belit (spin) tetap putar belit walaupun sedikit!

[Tulisan awal]

URA-URA menangguhkan pemilihan Umno Ogos ini sehingga tahun hadapan kononnya atas desakan ketua-ketua bahagian dan perhubungan negeri cukup menarik.

Pertama ia menunjukkan yang sindrom menidakkan (denial syndrome) masih menular dalam jiwa sesetengah para pembesar Umno walaupun pengundi telah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas mereka pada 8 Mac lalu.

Kedua ia menunjukkan betapa mudahnya pihak-pihak tertentu dalam Umno memperkotak-katikkan pendapat umum demi menjaga kepentingan peribadi mereka.

Ketiga kepentingan segelintir peneraju mengatasi kepentingan jutaan ahli Umno.

Dan keempat mereka tidak teragak-agak memperolok-olokkan sentimen ahli akar umbi parti.

Semua ini adalah perbuatan dan tindak tanduk yang sangat berbahaya kepada kelangsungan – survival — Umno.

Alhamdulillah, tidak semua pembesar Umno hilang akal dan tenggelam punca.

Laporan SMS akhbar The Star pagi ini (27 Mac) memetik Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yassin, sebagai berkata Jawatankuasa Pengurusan Umno sebulat suara bersetuju pemilihan parti tidak ditangguhkan.

Soalnya apakah jaminan yang keputusan itu tidak akan dipertikai dan dibatalkan oleh pihak-pihak yang lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Pengurusan?

Ini mendalamkan lagi misteri dakwaan bahawa ketua-ketua bahagian dan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri mahu pemilihan ditangguhkan.

Nampaknya pihak-pihak yang menghebahkan ura-ura itu mahu menguji sentimen ahli dan pembesar parti. Daripada reaksi awal, nyata cadangan itu berpotensi memecahbelahkan lagi Umno.

Ketua Penerangan Umno, Mohamad Muhd Taib berkata ketua-ketua bahagian dan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri Umno mahu pemilihan parti ditangguhkan.

Tetapi beberapa ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri menafikannya. Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan, misalnya, menolak ura-ura itu.

Ini menimbulkan tanda tanya mengenai kemungkinan ada pihak yang tidak demokratik dan takutkan cabaran cuba menggunakan nama ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri untuk menangguhkan pemilihan parti.

Apa pun yang hendak dilakukan oleh para pembesar Umno yang berasa mereka masih berkuasa dan masih dikehendaki, mereka tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ahli parti tidak boleh diperkotak-katikkan lagi.

Mereka telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka pada 8 Mac lalu dengan menghukum Umno di bawah kepemimpinan sekarang!

Jika para pembesar Umno masih enggan atau tidak berkeupayaan menghadapi realiti, usaha merawat parti – meminjam slogan Barisan Nasional “merawat Kelantan” — dan memujuk hati orang Melayu akan tertangguh.

Lagi lama tertangguh lagi sukar merawat Umno yang sedang gering dan hati orang Melayu yang luka.

Jika pemilihan ditangguhkan ia sudah tentu memburukkan lagi kemarahan orang Melayu, khasnya ahli dan penyokong Umno, terhadap pembesar-pembesar parti.

Ini berkemungkinan menyebabkan ahli dan penyokong Umno yang berpaling tadah pada 8 Mac lalu tidak kembali lagi ke pangkuan parti.

Apatah lagi dalam keadaan di mana pada pandangan mereka kerajaan pembangkang tidak mengecewakan aspirasi mereka apabila mereka dengan segala berat hati dan dukacita memangkah PAS, PKR dan DAP.

Malangnya bagi Umno, itulah tanggapan orang Melayu kini. Malah mereka terkejut bahawa kerajaan-kerajaan negeri pembangkang dapat ditubuhkan dengan begitu pantas dan tanpa krisis besar berbanding kerajaan-kerajaan negeri Umno sendiri.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu yang melagakan kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi dengan pihak Istana memburukkan imej kepemimpinan Umno.

Serentak itu ia menyerlahkan lagi sikap hipokrit media massa arus perdana yang menjadi tulang belakang propaganda pemerintah. Padahnya kerana taasub mereka jatuh tersungkur dan misai mencecah debu apabila cuba menggembar-gemburkan masalah pelantikan MB Perak dan menuduh pembangkang, khasnya Lim Kit Siang, biadab terhadap Raja.

Ini terjadi apabila Umno sendiri ternyata lebih teruk ketika menangani krisis di Perlis dan Terengganu dan menunjukkan sikap yang lebih buruk terhadap Raja daripada DAP.

Walaupun media massa arus perdana tidak menuduh Umno “kurang ajar”, “biadab” atau “derhaka” namun rakyat jelata tidaklah terlalu bodoh untuk membuat kesimpulan mengenai tindak tanduk pembesar-pembesar tertentu.

Menangani perhubungan yang unik dan sensitif dengan Istana adalah tugas dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh Umno sejak penubuhannya pada tahun 1946.

Sama ada dalam suasana aman atau konfrontasi, Umno dan pemimpinnya sebelum ini tidak pernah menunjukkan derhaka, biadab dan kurang ajar kepada Raja.

Penolakan Shahidan Kassim di Perlis dan Idris Jusoh di Terengganu walaupun membawa surat tauliah daripada Perdana Menteri adalah bukti kegagalan kepemimpinan tertinggi Umno meneruskan tradisi berbaik-baik dengan Raja berperlembagaan.

Apatah lagi Presiden Umno sendiri begitu beria-ia mempertahankan dua watak berkenaan tetapi akhirnya terpaksa akur dengan pelantikan Mat Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis dan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Pada perhimpunan dan pemilihan Ogos ini, Umno memerlukan pemikiran dan kepemimpinan yang lebih secocok dengan suasana baru yang ditonjolkan oleh keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu. Umno memerlukan perubahan di semua peringkat untuk merawat kegeringannya.

No comments: