LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Ahmad: Saya tak perlu angkat sumpah


kemaskini 8:25pm Datuk Ahmad Said berkata beliau tidak perlu menjalani upacara angkat sumpah sebagai menteri besar Terengganu yang baru kerana beliau telah menerima watikah pelantikan jawatan tersebut daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu.

Bagaimanapun, senarai ahli exco yang bakal dilantiknya selepas ini perlu mengangkat sumpah, katanya dalam sidang akhbar pertamanya selepas memulakan tugasnya sebagai menteri besar hari ini.

Pengelola istana hari ini dilaporkan berkata Ahmad akan mengangkat sumpah bersama barisan exco yang dilantiknya.

Menurut Mohd. Yasim Awang, tarikh majlis itu belum ditetapkan, lapor sebuah akhbar harian.

ahmad said terengganu mb istanaAhmad tiba di Wisma Darul Iman sebelum jam 8 pagi tadi.

Beliau kemudiannya terus ke tingkat 18 di mana satu majlis sembahyang hajat diadakan, yang dihadiri kira-kira 41 orang, termasuk kakitangan kerajaan.

Sembahyang hajat diadakan jam 8.14 pagi dan berakhir kira-kira lima minit kemudiannya.

Selepas itu, Ahmad mengadakan sidang akhbar.

Menurutnya beliau akan ke Putrajaya hari ini tetapi enggan mengulas lanjutnya mengenainya.

Ditanya sama ada beliau akan mengekalkan barisan exco lama, Ahmad berkata, ia akan merupakan campuran muka lama dan muka baru.

Sementara itu, satu sumber yang dekat dengan Umno bahagian Kemaman memberitahu Malaysiakini awal malam ini, Ahmad yang bertolak dari Terengganu petang tadi berjaya menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pertemuan selama satu jam bermula 5.30 petang ini berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan butiran perbincangan.

Krisis pelantikan menteri besar Terengganu bermula selepas majlis angkat sumpah Datuk Seri Idris Jusoh di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 10 Mac ditangguhkan.

Calon-calon pengganti Idris bagaimanapun tidak diumumkan sehingga 14 hari kemudian apabila pejabat Sultan Terengganu menamakan Ahmad untuk jawatan itu Sabtu lalu.

Majlis angkat sumpahnya, yang dijadual kelmarin, ditangguhkan, dipercayai akibat pemulauan 23 Adun BN yang diketuai oleh setiausaha badan perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid.

Kumpulan wakil rakyat BN itu menegaskan Idris satu-satunya calon yang layak untuk jawatan tersebut kerana mendapat sokongan majoriti dan surat sokongan daripada Perdana Menteri.

No comments: