LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Kenyataan Idris terima ketentuan takdir tidak ikhlas

9.25pm | 24 Mac
KOTA BHARU: Tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh yang membiarkan penyokongnya bertindak kurang sopan terhadap istana membayangkan beliau masih menginginkan jawatan Menteri Besar negeri itu.

Ia sekaligus bercanggah dengan kenyataan awalnya yang berkata beliau reda jika tidak dilantik semula mengetuai kerajaan negeri Terengganu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sepatutnya Idris menasihati penyokongnya tidak bertindak negatif tetapi apa yang berlaku sekarang seolah-olah pemimpin itu masih mahukan jawatan nombor satu itu.

“Sekiranya beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan itu dan menerima ketentuan qada’ dan qadar Allah, sudah pasti Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu itu menasihati Adun BN lain menerima pelantikan Menteri Besar yang baru.

“Ini kerana nasihat seorang pemimpin akan diterima baik penyokong atau pengikutnya. Beliau boleh sebut saya nak berundur diri,” katanya di sini selepas menerima kunjungan Datuk Bandar Yin-gor Narathiwat, di JKR 10.

Beliau diminta mengulas tindakan 22 Adun BN memulau pelantikan Adun Kijal, Dato’ Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sejak dari dahulu lagi beliau sering menjelaskan pemimpin Umno tidak ikhlas membela nasib orang Melayu memandangkan kepentingan peribadi lebih diutamakan.

“Simbolik menghunus keris setiap kali Ketua Pemuda Umno berucap kononnya mahu menjaga ketuanan atau kesultanan Melayu sebenarnya tidak dipraktik lagi pemimpin Umno.

“Perkara hunus keris dah lama lusuh. Umno hanya tahu menghunus keris, orang dah keluarkan pistol… tak jadi apa, kalau kita keluarkan senjata, orang lain keluarkan penumbuk.

“Keadaan ini akan lebih merumitkan lagi sehingga masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan sampai bila-bila,” ujarnya.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyokong penuh kenyataan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung pelantikan menteri besar yang baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac lalu.

Ketuanya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata, pihaknya berdiri teguh dengan kenyataan Presiden PAS itu yang menyatakan sokongan penuh dan menerima keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu berhubung pelantikan menteri besar.

Presiden PAS dalam satu kenyataan media berkata beliau percaya keputusan MPPR itu mengambil kira dan menitikberatkan hasrat dan kehendak sebenar rakyat negeri Terengganu keseluruhannya.

No comments: