LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Sultan Perak rasmi sidang Dun

Ekmal Yusof
Tue | Jun 24, 08 | 2:58:09 pm MYT

IPOH, 24 Jun (Hrkh) - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengingatkan rakyat supaya pandai berjimat serta dapat membantu kerajaan berusaha mengatasi krisis kekurangan bahan makanan yang sedang melanda negara.

Baginda menegaskan bahawa krisis tersebut bukan sahaja berlaku di negara ini malah ia juga terjadi di seluruh dunia.

Justeru, nasihat baginda kepada rakyat, jangan salahkan sesiapa tetapi rakyat harus sentiasa berhati-hati berbelanja dalam menyediakan makanan seharian.

Titah baginda lagi, memandangkan dunia sekarang dilanda krisis makanan, baginda berharap rakyat di negara ini dijauhkan tuhan daripada menghadapi masalah ketidakcukupan bahan makanan.

"Beta berharap Kerajaan Perak bersikap proaktif dalam menangani krisis tersebut dengan mengambil tindakan segera untuk mengatasi perkara itu sebelum ia memberi kesan negatif terhadap semua golongan rakyat," seru baginga ketika bertitah merasmikan pembukaan Dewan Undangan Negeri Ke-12 di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) dekat sini pagi tadi.

Tegas baginda, langkah segera lagi berkesan perlu dilakukan bagi menambahkan kawasan tanah sawah tempat penanaman padi terutama di Kerian dan Seberang Perak supaya pengeluaran hasil padi dapat ditingkatkan. Image

"Potensi penanaman padi dari tiga tan kepada 10 tan sehektar dapat dihasilkan jika dilaksanakan langkah bersungguh-sungguh oleh Jabatan Pertanian Negeri dengan memberikan khidmat nasihat yang positif kepada petani," ujar baginda.

Sebagai fokus utama untuk memastikan dua kawasan jelapang padi tersebut (Kerian dan Seberang Perak) dapat menghasilkan pengeluaran yang tinggi, baginda berharap kerjasama yang berkesan dapat dijalin di antara Kerajaan Perak dengan Kerajaan Persekutuan.

Tegas baginda, peningkatan hasil padi bukan sekadar membantu peningkatan pendapatan petani tetapi turut membantu masalah kekurangan komuniti tersebut.

Sebelum ini keberangkatan tiba Sultan Azlan Shah telah disambut oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, seterusnya melakukan pemeriksaan perbarisan kehormat yang teridri daripada Anggota Batalion Kedua, Pasukan Gerak Am Kedah. - mns_

No comments: