LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Anwar bebas jaminan polis pagi ini, kembali ke IPK 18 Ogos

Oleh G. MANIMARAN, ARIFFUDDIN ISHAK, NURUL ALIN dan LEE YAN XIU

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Selepas ditahan polis lebih 18 jam Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan atas jaminan polis, kata peguamnya Sankara Nair sebentar tadi.

Beliau dibebaskan kira-kira 9.40 pagi tadi.

Tiada sebarang pertuduhan akan dikenakan terhadap Anwar.

Pada 18 Ogos ini, Anwar akan kembali memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 pagi.

Beliau dilihat keluar dari IPK Kuala Lumpur melalui pintu belakang dan meninggalkan premis itu dengan kereta yang dinaiki isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menuju ke rumahnya di Bukit Segambut.

Anwar dilihat meninggalkan perkarangan IPK KL pada 9.45 pagi melalui pintu pagar belakang yang menghala ke Jalan Hang Tuah dengan menaiki kereta pacuan empat roda warna hitam.

Beliau dilihat melambai tangan dari dalam keretanya ke arah petugas media yang cuba mengejar kenderaan beliau.

Seorang lagi peguam Anwar, R.Sivarasa, berkata Anwar ditahan sepanjang malam di dalam lokap kecuali ketika keterangannya diambil.

Sehingga dibebaskan, pihak polis masih terus mengambil keterangan daripada Anwar pagi ini bagi membantu siasatan dalam kes itu, katanya.


Anwar ditahan pada 1 tengah hari semalam oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kenderaan, 50 meter dari rumahnya di Segambut.

Bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohamad Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lalu.

Turut serta mengiringi Anwar adalah kereta yang dinaiki oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Kira-kira 35 minit kemudian, beliau tiba di rumahnya sambil ditemani oleh anak-anak dan isterinya.

Menurut peguamnya, Sankara, Anwar mengadu sakit belakang disebabkan tidur di atas lantai ketika ditahan reman sepanjang malam tadi.

Oleh itu, beliau akan menerima rawatan doktor di rumahnya.

Anwar dijangka akan membuat sidang media pada pukul 2 petang ini di rumahnya.

Difahamkan sebelum Anwar dibebaskan beliau telah diambil keterangan, susulan proses semalam.

Kira-kira 45 minit kemudian, peguamnya, Sivarasa Rasiah tiba di IPK.

Sementara Sankara pula tiba pada pukul 8.50 pagi.

Katanya, salah seorang pegawai penyiasat polis menelefon beliau untuk memaklumkan bahawa Anwar akan dibebaskan atas jaminan polis hari ini sejurus selesai memberikan keterangan kepada polis

Pasukan peguam Anwar telah mencuba untuk membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan atas jaminan polis sehingga tengah malam tadi.


Menurut Sankara, pegawai penyiasat itu juga berjanji kepada beliau di mana tahanan reman terhadap Anwar tidak akan dilanjutkan.

Turut serta adalah peguamnya yang ketiga iaitu Saiful Izham.

Pada pukul 9.30 pagi, isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di IPKKL bersama tiga orang anaknya termasuk Nurul Izzah dengan menaiki kereta jenis Honda berwarna hitam.

No comments: