LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Jangan jadikan Perdana V6 kambing hitam

July 24, 2008 by Pendeta

PEMBELIAN kereta Mercedes E200 Kompressor oleh kerajaan negeri Terengganu bukan sekadar satu pembaziran, tetapi membawa ke arah satu penghinaan terhadap ke- reta nasional, Proton Perdana V6.

Saya merujuk dakwaan Toh Chin Yaw, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, yang mendakwa Proton Perdana V6 Executive yang digunakan sebelum ini dipercayai kereta ‘potong’, dan kos yang mencecah RM50,000 untuk dua kali penyenggaraan.

Kereta-kereta ini, yang dibeli dengan hasil cukai rakyat, tujuan utamanya adalah untuk kegunaan rasmi kerajaan.

Kalau dalam masa empat tahun dari tarikh pembelian telah dua kali disenggara sedemikian rupa, maka saya berpendapat kereta-kereta ini perlu diperiksa dengan teliti secara menyeluruh meliputi pelbagai aspek.

Janganlah Proton Perdana V6 dipersalah dan diperlekeh, jika niat utama kerajaan negeri Terengganu adalah untuk menggunakan kereta jenis lain.

Kenapa setelah mendapat kereta Mercedes E200 Kompressor, baru ‘nampak’ apa yang boleh dikatakan ‘dakwaan kepincangan’ kereta Proton Perdana V6? Jangan jadikan kereta nasional sebagai kambing hitam untuk mencapai cita-cita ahli Exco negeri untuk menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor.

Keadaan sekarang tidak mengizinkan kita membazir dan bermegah. Banyak lagi projek pembelaan nasib rakyat negeri perlu diutamakan. Banyak lagi belanja menaik taraf kehidupan rakyat negeri perlu dititikberatkan. Hatta, kenapa bantahan sebegini disuarakan.

Kalau asyik kereta rosak kotak gear, saya mengesyorkan kerajaan negeri Terengganu meneliti cara pemanduannya. Jangka hayat sesebuah kereta terletak pada kebijaksanaan pemandunya.

Cuma sekarang, hentikan sahaja pembelian ini atau carilah kereta jenis lain yang harganya separuh daripada harga Mercedes E200 itu.

No comments: