LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Datuk Rusli Ibrahim dicalon sebagai Senator


Lanjusoh
Wed | May 14, 08 | 2:53:57 pm MYT

KETEREH, 14 Mei (Hrkh) - Bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Ahmad Rusli Ibrahim dicalonkan sebagai anggota Dewan Negara bagi mewakili Kelantan.

Pengumuman perkara itu dibuat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di pekan Kok Lanas malam tadi, sempena program ceramah isu semasa.

Menteri Besar berkata, Rusli telah melakukan pengorbanan besar kepada perjuangan gerakan Islam di Kelantan sejak menyertai PAS lebih dua tahun lalu.

"Sebelum ini kita melantiknya sebagai Penyelia di Dun Kok Lanas biar pun jawatan itu tidak sepadan dengan kewibawaan yang ada padanya.

"Dan pada pilihan raya umum lalu beliau dicalonkan mewakili PAS di Dun Kok Lanas. Kepetahannya bercakap membuatkan orang kampung mudah faham apa yang disampaikan," katanya.

Oleh itu beliau berkata, dengan mengambil kira segala kelebihan tersebut maka wajar sekali beliau dicalonkan sebagai Senator bagi mewakili Kelantan ke Dewan Negara.

Malah katanya beliau lebih mudah untuk bergerak ke mana sahaja di negara ini bagi menyampaikan mesej dakwah dan penerangan isu-isu semasa.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, Rusli mempunyai kedudukan tinggi dalam Umno sebelum menyertai PAS.

Kata beliau selepas menyertai PAS beliau sanggup pergi ke mana sahaja untuk berceramah bagi memberi penerangan mengenai isu-isu semasa kepada masyarakat.

"Tiada benda lain yang dapat kita balas melainkan jawatan Senator yang saya sendiri akan cadangkan pada persidangan Dun Ogos depan.

"Kalau tuan-tuan hendak panggil Dato' Rusli sebagai YB mungkin sudah boleh agaknya," katanya disambut gelak ketawa orang ramai.

Sementara itu, Rusli merakamkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan Menteri Besar dan kerajaan negeri yang bakal mencalonkan namanya bagi mewakili Kelantan ke Dewan Negara.

Pada persidangan Dun Kelantan pada 28 hingga 30 April lalu, agenda ke-11 dicatat sebagai pemilihan Ahli Dewan Negara pada susunan urusan persidangan.

Bagaimanapun Speaker, Ustaz Nasuruddin Daud mengumumkan agenda pelantikan itu ditangguhkan.

Kuota bagi jawatan Senator mewakili Kelantan kosong satu kerusi berikutan Wan Ubaidah Omar bertanding di Dun Kijang dan memenangi kawasan itu.

Seorang lagi penyandang jawatan itu, Mumtaz Mohd Nawi dijangka disambung perkhidmatan bagi penggal kedua. Setiap penggal selama tiga tahun.

Sebelum ini kerajaan PAS Kelantan hanya melantik wakil muslimat sebagai Senator mewakili negeri ini. - mj

No comments: