LIVE DARI PARLIMEN

TERKINI

Dedah laporan video Lingam agenda siapa?

Abdul Halim Mohd Rashid
Sat | May 17, 08 | 4:23:13 pm MYT

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Hrkh) - PAS melihat pendedahan awal beberapa media yang dikuasai parti-parti di dalam Barisan Nasional (BN) sebagai agenda politik dalaman Umno untuk mengalihkan hasil kajian usaha memulihkan sistem kehakiman kepada agenda memulihkan krisis kepimpinan Umno, kata Ketua Penerangannya, Haji Mahfuz Omar.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam membuat laporan polis ekoran tindakan beberapa organisasi media menyiarkan isi kandungan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video V. K. Lingam sebelum kabinet membuat keputusan untuk mendedahkan laporan itu.

Tindakan tersebut dilaporkan telah diambil kerana beberapa akhbar telah menyiarkan isi kandungan laporan suruhanjaya itu sebelum Kabinet bermesyuarat membincangkan perkara itu pagi ini.

"Kita tidak pasti sama ada laporan ini bertujuan �mengenakan� (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) atau ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan calon proksi Dr Mahathir, tetapi yang pasti ia adalah agenda untuk memerkukuhkan pengaruh pihak tertentu dalam Umno.

"Pada hari ini walau apa pun yang dilaporkan oleh media, hakikat wujudnya persaingan pengaruh dalam Umno amat ketara. Kini ada di kalangan mereka cuba mengalihkan isu siasatan pita video ini untuk kepentingan politik Umno" katanya.

PAS, katanya, memandang serius pendedahan kandungan Laporan Suruhanjaya Diraja tentang Klip Video Lingam oleh media massan, khususnya Kumpulan NSTP.

Seperti yang dimaklumi umum, katanya, ketika perkara itu dibocorkan akhbar-akhbar tersebut, Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja mahupun kabinet belum membuat keputusan sama ada mahu mendedahkan atau tidak laporan ini kepada umum.

"Perdana Menteri sendiri sebelum ini memberitahu kerajaan akan mengkaji sama ia perlu didedahkan atau sebaliknya. Tetapi, yang menjadi persoalan bagaimana hasil siasatan tersebut boleh didedahkan lebih awal oleh media massa," Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Umum mengetahui, kata Mahfuz, bahawa Kumpulan NSTP adalah antara akhbar yang dimiliki oleh Umno dan kumpulan tertentu dalam Umno dikatakan menguasai media ini.

"Sebelum ini, Dr Mahathir pernah membangkitkan tentang perlantikan Datuk Kalimullah Hassan sebagai ketua pengarang kumpulan akhbar ini. Dan hari ini, bberapa akhbar utama NSTP seperti Berita Hatian dan New Straits Times telah membuat pendedahan terhadap laporan siasatan diraja ini dengan mendakwa dua kroni Dr Mahathir, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Tan Sri Vincent Tan sebagai terlibat terhadap usaha mempengaruhi perlantikan hakim," kata beliau.

PAS, katanya lagi, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu ang cuba menggunakan media bagi membangkitkan isu yng sebenarnya masih menjadi �rahsia negara�.

"Adakah ini satu pedekatan politik BN ketika mereka sedang tersepit antara kemaraan Pakatan Rakyat dengan pergolakan dalaman Umno/BN?

"Isu Lingam ini sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan masalah Umno, melainkan untuk membersihkan institusi kehakiman semata-sama. Jadi mengapa ada usaha dari tangan-tangan ghaib untuk mempergunakan media bagi menjerat pihak tertentu dalam usaha memperkukuhkan pengaruh masing-masing dalam Umno.

"PAS bimbang sekiranya isu ini menjadi agenda politik yang sempit dan akhinya tujuan asal untuk membersihkan institusi kehakiman bertukar menjadi agenda untuk membersihkan pengaruh kumpulan tertentu dalam Umno," katanya lagi.

No comments: