Azamin Amin | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Mon | May 12, 08 | 6:42:32 pm MYT
PETALING JAYA, 12 Mei (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menjawab tuduhan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed ke atas dirinya berhubung isu klip video VK Lingam.
ImageKatanya ketika insiden dan rakaman itu dibuat, beliau masih berada di penjara Sungai Buloh.
"Saya maafkan Mahathir sebab dia terlupa saya masih di penjara Sungai Buloh pada tahun 2001," katanya sinis, dalam satu sidang media di Petaling Jaya sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Mahathir bahawa klip video itu dibuat untuk tujuan peras ugut.
Dr Mahathir juga dilaporkan berkata bahawa setiapkali seseorang itu membuat rakaman rahsia, niatnya ialah untuk mengugut dan beliau bimbang 'kerajaan telah menjadikan percubaan memeras ugut itu, berjaya'.
Anwar dibebaskan pada September 2004 ketika Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri manakala Isu klip video 'Linggam' muncul pada 2002 tetapi menimbulkan kontroversi di Malaysia pada tahun 2007.
Klip video ini dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka, Dato' V.K. Linggam dan seorang hakim kanan bagi mengatur perlantikan hakim-hakim di Malaysia pada 2002.
Sebelum itu dalam kenyataannya Anwar menggesa kerajaan mendakwa mereka yang didapati terlibat dalam skandal kehakiman seperti dirumus oleh suruhanjaya diraja siasatan klip video VK Lingam.
Image"Perdana menteri Dato' Seri Abdullah Badawi berhasrat melaksanakan reformasi badan kehakiman, maka cadangan suruhanjaya tersebut supaya menyiasat dan mendakwa kalangan yang terlibat dalam dilaksanakan.
"Kami juga ingin memohon penjelasan bersabit laporan suruhanjaya yang mengaitkan isu ketidakadilan pendakwaan dan penghukuman kes-kes tertentu di bawah bidang kuasa suruhanjaya tersebut," katanya.
Berikut disiarkan kenyataan penuh Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar petang tadi:
Kami mengalu-alukan penyerahan Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai video klip Lingam kepada Yang Di-Pertuan Agong dan meminta laporan itu segara didedahkan kepada umum.
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhasrat melaksana reformasi badan kehakiman, seperti mana yang beliau umumkan sebelum ini, maka cadangan suruhanjaya tersebut supaya menyiasat dan mendakwa kalangan yang terlibat dapat dilaksanakan.
ImageKami juga ingin memohon penjelasan bersabit laporan suruhanjaya yang mengaitkan isu ketidak adilan pendakwaan dan penghukuman kes-kes tertentu dibawah bidang kuasa suruhanjaya tersebut.
Amat mendesak sekali untuk kerajaan mengambil tindakan wajar mengembalikan keyakinan terhadap badan kehakiman serta memastikan agar penyiasatan dan pendakwaan salah laku jenayah oleh Jabatan Peguam Negara yang bebas dari gangguan pemerintah.
Ini pastinya melibatkan beberapa percanggahan dan kaedah yang dipertikai yang sewajarnya dipatuhi oleh pihak berwajib dalam penyiasatan kes yang melibatkan pimpinan kanan kerajaan termasuk kes-kes yang tercela seperti pembunuhan dan yang melibatkan dana yang besar.
Rakyat Malaysia prihatin tentang permasalahan tersebut dan justeru itu tidak harus diremehkan oleh pemeritnhn sekarang. Sebarang tindakan yang dianggap tidak bersungguh-sungguh bagi memulihkan kewibawaan badan kehakiman pasti nya tidak akan berhasil.
ANWAR IBRAHIM - mr
No comments:
Post a Comment